ARKIB : 21/07/2006
Oleh: AMRAN MULUP
GHANI MINHAT.
KUALA LUMPUR Bekas pemain dan
jurulatih menyifatkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak wajar
dipersalahkan seratus peratus ekoran kemerosotan mutu bola sepak negara.
Mereka berkata desakan agar
semua penjawat dalam FAM meletak jawatan bukan resolusi terbaik untuk
memertabatkan semula bola sepak Malaysia di persada dunia.
Sebaliknya mereka berpendapat
pembangunan di peringkat akar umbi yang sebenarnya perlu diberikan perhatian
serius oleh FAM untuk melahirkan pemain-pemain berkaliber setanding dengan
kehebatan Allahyarham Mokhtar Dahari, Mendiang R. Arumuggam, Datuk Soh Chin Aun
dan Santokh Singh.
Bekas Raja Bola, Datuk Ghani
Minhat berkata, desakan agar semua penjawat dalam FAM meletak jawatan bukan
langkah terbaik untuk memertabatkan semula bola sepak negara.
Menurutnya, sepanjang
penglibatannya dengan FAM, beliau mendapati badan induk itu telah menjalankan
tugas dan tanggungjawab dengan baik dan diakui antara persatuan terbaik di
rantau Asia dan Asia Tenggara.
Bagi saya mendesak semua
penjawat dalam FAM meletak jawatan tidak akan menyelesaikan masalah bagi
memertabatkan semula maruah bola sepak negara.
Apa yang penting ialah
pembaharuan dari aspek teknikal yang perlu diperbetulkan kerana ini sahaja
dapat mencungkil bakat baru yang lebih berpotensi, ujar ketika dihubungi
semalam.
Bekas pemain kebangsaan, Bakri
Ibni turut mempunyai pandangan yang sama iaitu desakan semua penjawat dalam
badan induk bola sepak negara itu meletak jawatan bukan menjadi penyelesai
masalah.
Sebaliknya beliau berkata,
perkara yang penting untuk mengembalikan semula maruah bola sepak negara ialah
pembangunan belia di peringkat akar umbi di seluruh negeri perlu diberikan
perhatian.
Mereka yang terlibat daripada
tenaga pengajar jurulatih dan jurulatih perlu ikhlas, amanah dan berpengetahuan
barulah kita dapat memperoleh pemain muda yang berkaliber, ujarnya.
Sementara itu, bekas penolong
jurulatih kebangsaan, Irfan Bakti berkata, FAM tidak boleh dipersalahkan
seratus peratus atas kegagalan bola sepak di persada dunia.
Pembangunan di peringkat akar
umbi sebenarnya perlu diberikan perhatian oleh FAM dan bukan sekadar seperti
melepas batuk di tangga.
Setakat ini saya akui kita
tidak mempunyai pemain yang berbakat dan setanding seperti era zaman
kegemilangan bola sepak Allayarham Mokhtar Dahari dan Datuk Ghani Minhat,
ujarnya.
Bekas pemain kebangsaan, Shukor
Salleh pula berkata, untuk menaikkan semula imej bola sepak negara di mata
dunia, pembangunan di peringkat akar umbi perlu diberikan tumpuan oleh FAM.
Menurut beliau, bukan dengan
desakan semua penjawat FAM meletak jawatan akan memastikan imej bola sepak akan
dapat ditebus.
Ini soal pembangunan di
peringkat belia, kita sebenarnya ketandusan pemain yang berkaliber dan penting
semua pihak bukan sahaja FAM tetapi kerajaan negeri perlu memainkan peranan
mengasah bakat pemain muda, ujarnya.
Beliau yakin jika pembangunan
di peringkat belia diberikan tumpuan penuh, pastinya imej bola sepak negara
yang sudah tercalar dapat diperbaiki semula.
Sementara itu, bekas pemain
kebangsaan Mat Zan Mat Aris turut mengakui betapa pembangunan di peringkat
belia perlu diberikan perhatian oleh FAM.
FAM serta persatuan bola sepak
negeri perlu berganding bahu mencungkil bakat baru yang dapat diketengahkan.
Setakat ini saya dapati kita
kekurangan pemain muda yang berkaliber dan berpotensi memandangkan keupayaan
pemain yang beraksi dalam Liga Malaysia tidak dapat dibanggakan, katanya.
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0721&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4lJHjSAtP
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan