Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my
HASRAT Harimau Malaya untuk
memulakan kempen Kumpulan B Kelayakan Piala Asia 2019 di bawah kendalian
jurulatih baru dari Portugal Nelo Vingada dengan bergaya tidak kesampaian
apabila tewas 1-2 tangan Lubnan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam tadi.
Pemain sayap kanan Mahali
Jasuli meletakkan pasukan tuan rumah di ambang kemenangan sebelum Lubnan
bangkit menerusi dua gol jaringan pemain gantian Rabih Ataya pada babak kedua.
Selepas aksi pertama dengan
Korea Utara yang ditunda dua kali pada 28 Mac dan 8 Jun kepada 5 Oktober,
perlawanan dengan Lubnan ini amat dinantikan penyokong tempatan untuk melihat
sejauh mana kemampuan Vingada mengendalikan pasukan.
Malah turut mencuri perhatian
dua pemain, kapten Safiq Rahim dan Amirulhadi Zainal yang kembali menyarung
jersi kebangsaan selepas hampir setahun bersara di pentas antarabangsa.
Tiada apa yang mendebarkan pada
30 minit pertama selain dua sepakan penalti Lubnan yang dinafikan oleh pengadil
dari Bahrain Jameel Juma Abdul Husain Mohamed.
Harimau Malaya hanya mula
mengancam kubu pasukan pelawat menerusi percubaan Syazwan Zainon yang sedikit
tersasar dalam kotak penalti di minit ke-40.
Bagaimanapun skuad kebangsaan
yang menduduki ranking ke-155 dunia mengejutkan Lubnan (135) dengan gol
pendahuluan tiga minit kemudian.
Mahali yang pada awalnya
disorak oleh segelintir penyokong kerana kehadirannya dalam skuad utama
dipertikaikan menghukum kesilapan penjaga gol Lubnan Mehdi Kahlil dengan mudah
menyepak masuk bola ke gawang.
Skuad Lubnan kendalian Miodrag
Radulovic yang menewaskan Hong Kong 2-0 pada aksi pertama kumpulan Mac lalu
lebih banyak mengasak pada separuh masa kedua sehingga memaksa penjaga gol
Khairul Azhan Khalid menyelamatkan beberapa percubaan bahaya.
Namun hasrat anak buah Vingada
untuk memungut tiga mata di laman sendiri tidak kesampaian apabila sepakan
lencong pemain gantian Rabih Ataya mengelirukan Khairul Azhan untuk mengikat
kedudukan 1-1 pada minit ke-80 sebelum gol kemenangan pada masa kecederaan.
Harimau Malaya akan meneruskan
kempen menentang Hong Kong pada 5 September depan di Larkin.
SUMBER-Artikel ini disiarkan
pada : Selasa, 13 Jun 2017 @ 11:56 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan