Isnin, 26 Jun 2017

Skuad negara perlu ke Doha



ARKIB : 18/05/2006

PEKAN - Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tetap mahu skuad negara diberi peluang beraksi di Sukan Asia XV di Doha, Qatar, kata Timbalan Presiden FAM Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, semalam.

Katanya, soal menang atau kalah, bukanlah menjadi ukuran kerana peluang beraksi di peringkat itu wajar dilalui skuad negara terutama untuk meningkatkan prestasi dan kemahiran para pemain.

"Kalau tidak bagi peluang sebegini, sukan di Malaysia hanya sampai di tahap ini sahaja, tiada pembaharuan dan jika atlet tidak beraksi di peringkat seperti ini di mana lagi mereka nak beraksi," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tunku Imran Tuanku Ja'afar semalam bahawa terdapat kemungkinan skuad negara terpaksa melalui pusingan kelayakan sebelum mampu ke Doha jika jumlah penyertaan melebihi had 24 pasukan yang ditetapkan penganjur.

Tunku Imran berkata, FAM juga perlu membuktikan mereka layak dipertimbangkan untuk layak ke temasya itu.

Tengku Abdullah berkata, sukan di negara ini dilihat banyak berasaskan kepada merit, sebaliknya ia harus memberi peluang kepada atlet menimba pengalaman dalam pelbagai kejohanan bagi memantapkan persembahan.

Menurutnya, walaupun MOM mempunyai satu panduan untuk memilih siapa yang layak dalam temasya itu namun FAM berharap mereka dapat memberi peluang kepada pasukan kebangsaan untuk beraksi sebaik mungkin.

"Saya juga harap panduan berkenaan dikaji semula kerana kadang kala persatuan-persatuan (bukan sahaja bola sepak) mahu pemain atau atlet mereka mendapat pendedahan lebih meluas.

Mengenai Piala FA, Tengku Abdullah, juga Presiden Persatuan Bola Sepak Pahang berkata keputusan sama ada akan memberi imbuhan tertentu sekiranya pasukan negeri berjaya merangkul piala tersebut bergantung pada persatuan.

"Pasal imbuhan kita kena tengok lepas keputusan final dulu...yang penting semua pemain perlu berusaha menjadikan perlawanan ini satu perlawanan yang mantap dan bersejarah," katanya.

- Bernama

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0518&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4l69sxPCu
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan