Selasa, 6 Jun 2017

Bekas pemain negara meninggal dunia



ARKIB : 13/11/2005
Allahyarham Sulaiman Rejab.

KUALA TERENGGANU - Bekas pemain bola sepak kebangsaan era 60-an dan 70-an, Sulaiman Rejab, 56, meninggal dunia pagi ini selepas diserang angin ahmar yang dihidapi sejak enam bulan lalu.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 11.15 pagi semalam di sisi isterinya, Zakiah Ali dan enam orang anak berusia 11 hingga 31 tahun.

Kematian Sulaiman akibat komplikasi jantung itu disahkan oleh seorang pembantu perubatan Hospital Kuala Terengganu yang membuat pemeriksaan ke atas Allahyarham di rumahnya di Jalan Kenangan, Batu Buruk dekat sini.

Sementara itu, Zakiah ketika dihubungi di sini berkata, dia redha dengan pemergian Allahyarham yang banyak meninggalkan jasa kepada keluarga dan negara.

Sepanjang karier, Sulaiman pernah menjadi penolong jurulatih Semi Pro Terengganu pada tahun 1992.

Allahyarham yang berasal dari Wakaf Mek Zainab, Kelantan itu pernah mewakili Majlis Sukan-Sukan Malaysia Kelantan.

Kecemerlangan dalam bidang sukan bola sepak telah melayakkan Allahyarham mewakili Kelantan untuk Piala Berney seterusnya Piala Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Piala Emas Raja-Raja dan Piala Malaysia.

Allahyarham yang mula mewakili Terengganu pada tahun 1968 hingga 1979, pernah mewakili negara antaranya Piala Raja Thai dalam Sukan SEAP pada ketika itu (kini dikenali Sukan SEA), Piala Jakartaraya dan Piala Kemerdekaan Vietnam.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=1113&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4jEtfTIQl
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan