Isnin, 5 Jun 2017

Skuad B-23 negara tercorot



ARKIB : 31/10/2005
HANOI - Skuad Bawah 23 Tahun negara mengakhiri kempen Kejohanan Bola Sepak Piala Agribank di sini dengan menduduki tempat tercorot setelah menerima kekalahan ketiga, 0-1 kepada Thailand, semalam.

Anak buah Norizan Bakar ini kecundang dengan tandukan penyerang gantian, Preach Chaokla, dua minit sebelum tamat tetapi sudah memadai untuk mengurangkan `parut' lama dibelasah lawan tersebut 0-7 di Bangkok, bulan lalu.

Turun dengan persembahan yang dianggap terbaik di Stadium My Dinh, Malaysia bagaimanapun gagal meraih sebarang mata dan gol sesudah tewas kepada Bawah 20 Tahun Jepun 0-4 dan 0-1 kepada Vietnam.

Malaysia dan Thailand yang membelasahnya pada Kejohanan Asia Tenggara serta Vietnam, sedang dalam persediaan menghadapi Sukan SEA ke-23 di Filipina yang bakal bermula pada 20 November ini.

Skuad negara kehilangan sekurang-kurangnya satu mata untuk dibawa pulang dengan keputusan seri ketika cuba menukar bek kanan, V. Thirumurugan yang mengalami kecederaan.

``Cukup kecewa kerana kalah sebegini. Kami bermain lebih baik daripada menentang Jepun lalu dan mencipta banyak peluang tetapi masih tidak bernasib baik kerana gagal melakukan penyudah.

``Namun kejohanan ini mengembalikan keyakinan pasukan dan menyedarkan di mana kedudukan kami yang sebenarnya tidaklah begitu jauh dengan Thailand dan Vietnam,'' kata penyerang Azlan Ismail.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=1031&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4jAt6MPHQ
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan