ARKIB : 30/07/2006
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
KUALA LUMPUR - Sasaran layak ke
Piala Dunia 2018 ternyata bukan satu angan-angan Mat Jenin oleh Persatuan Bola
Sepak Malaysia (FAM) kerana perancangan membentuk pemain ke arahnya telah
dibuat sejak minggu lalu untuk menjadikan Brazil sebagai mentor terbarunya.
Dalam kunjungan sempena
Kejohanan Jogos do Taca BH Futebol Junior di Minais Gerais, Brazil, baru-baru
ini, FAM turut mengorak langkah untuk menjalinkan kerjasama dengan negara kuasa
bola sepak dunia itu.
Setiausaha Agung FAM, Datuk
Seri Dr. Ibrahim Saad berkata, pihaknya telah berunding untuk menempatkan
sebuah pasukan kebangsaan berlatih dalam tempoh yang panjang di salah satu dari
dua bandar yang terpilih.
Kami sudah mengenal pasti
akademi bola sepak milik bekas jurulatih Jepun dan legenda Brazil, Zico (Clube
de Futebol Zico Sociedade Esportiva - CFZ) di Rio de Janeiro dan satu lagi di
Cruzeiro untuk menempatkan skuad ini, katanya kepada Mingguan Malaysia,
semalam.
Zico yang tidak pernah
memenangi Piala Dunia sebagai pemain Brazil pada pusingan akhir kejohanan 1978,
1982 dan 1986, menubuhkan CFZ pada 12 Julai 1996 sebelum membuka cawangan baru
di Brasilia pada 1 Ogos 1999.
Menurut beliau, akademi bola
sepak Zico itu juga pernah menjadi destinasi pasukan kebangsaan Jepun seketika
sebelum bekas barisan bimbingannya itu beraksi pada Piala Dunia di Jerman,
baru-baru ini.
Khabarnya, pasukan Korea
Selatan juga pernah berlatih di Cruzeiro - sebuah lagi tempat yang kami terokai
ketika ke Belo Horizonte, Minais Gerais, baru-baru ini, kata Ibrahim yang
menyertai skuad Bawah 20 Tahun Malaysia bimbingan K. Rajagopal.
Skuad ini yang bakal menghadapi
Kejohanan Belia Asia di India, Oktober ini, hanya seri sekali dengan kelab
Ponte Itauna selain tewas selebihnya kepada Santos, Flamengo, America dan
Guarani dari 13 hingga 20 Julai lalu.
Bagaimanapun, kata Ibrahim,
banyak faktor yang perlu diambil kira sebelum mencontohi China yang pernah
menghantar skuad bawah umurnya ke Brazil untuk menghadapi Sukan Olimpik dan
Kejohanan Belia Dunia 1997 terutama sekali soal kewangan.
Dari segi bahasa nampaknya
tiada masalah kerana kebanyakan jurulatih di sana boleh berbahasa Inggeris cuma
kos perlu dikaji kerana kami mahu menghantar sebuah pasukan terus dan bukannya
seorang dua pemain, katanya.
Sebagai rekod, FAM pernah
mengupah dua jurulatih dari Brazil, Jorven Vieira dan Silvio Sergio Machado
untuk mengendalikan skuad Bawah 20 Tahun dan futsal negara, kira-kira dua tahun
lalu tetapi jodoh mereka tidak berpanjangan.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0730&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4lNvDZNX1
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan