Khamis, 1 Jun 2017

Titus kena lalui saringan - Bicskei



ARKIB : 19/07/2005

Oleh Sayed Hesham Idris
 PETALING JAYA - Status bintang muda yang beraksi di Perancis, Titus James Palani bersama skuad bola sepak kebangsaan masih belum dapat diputuskan lagi - sama ada untuk menyenaraikannya dalam skuad bawah 23 atau bawah 20 tahun.

Jurulatih kebangsaan, Bertalan Bicskei berkata, status Titus hanya akan ditentukan setelah prestasi dan keupayaan pemain FC Villenoy, Perancis itu dinilai di sepanjang sesi latihan skuad bawah 23 tahun ke Sukan SEA Manila yang bermula semalam.

Katanya, paling tidak, setelah seminggu sesi latihan Titus, barulah status pemain terbabit dapat ditentukan.

``Buat masa ini saya belum boleh menentukan status pemain muda itu sama ada dia akan disenaraikan untuk skuad bawah 23 atau bawah 20 tahun.

``Tetapi saya yakin dia sangat berbakat dan berpotensi untuk beraksi bersama pasukan bawah 23 tahun yang dibentuk untuk beraksi di Sukan SEA kelak.

``Dia menyertai sesi pemilihan skuad bawah 23 tahun atas dasar jemputan tetapi memiliki reputasi yang tinggi sebagai sandaran utama pasukan bola sepak negara yang mahu meraih emas di Manila,'' katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Tambah Bicskei, dia yakin Titus akan memulakan sumbangan awal untuk pasukan kebangsaan di Sukan SEA Manila bersama skuad bawah 23 Tahun.

``Dari segi usia dia memang masih terlalu muda tetapi dia kaya dengan pengalaman di Perancis.

Skuad bawah 23 tahun kebangsaan yang dibentuk khusus untuk misi menggapai emas pada Sukan SEA di Manila pada penghujung tahun ini memulakan latihan pertama, semalam.

Sebanyak 44 pelatih dipanggil untuk pemilihan termasuk tiga pemain skuad bawah 23 tahun di Sukan SEA Vietnam 2003 iaitu Fadzli Shaari, R. Surendran dan Ronny Harun.

Sepanjang sesi latihan tersebut, Bicskei akan menyaring pemain dalam beberapa peringkat ujian menentang pasukan Liga Super dan Liga Perdana iaitu MK Land, Kuala Lumpur, Telekom Melaka dan Perak.

Ditanya mengenai corak latihan yang diterapkan, jurulatih dari Hungary itu menjelaskan, para pelatih akan dibahagikan kepada dua kumpulan.

``Ia bukanlah seperti pasukan kelas A atau kelas B. Tetapi ia lebih merupakan saingan dua pasukan untuk membuktikan siapa yang lebih baik.

``Mereka akan menjalani latihan padang, ujian kecergasan di gim serta pemeriksaan kesihatan sebelum layak ke senarai akhir,'' katanya.

Barisan muda yang disasarkan memenangi pingat emas Sukan SEA Manila itu juga dijadualkan menjalani latihan dan perlawanan persahabatan di Poland dan Uzbekistan pada Ogos sebelum diuji dalam perlawanan kompetitif pertama pada pra-Sukan SEA di Bangkok, September depan

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0719&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4ijsxinB1
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan