Sabtu, 12 November 2016

Zaquan selamatkan Kim Swee

JUMAAT, 11 NOVEMBER 2016 @ 10:13 PM
Oleh Syafiq Aznan syafiq.aznan@bh.com.my
 
Pemain Harimau Malaysia, Shahrul Saad (kiri) mengasak pemain Malaysia bawah 22, Syafiq Ahmad ketika perlawanan persahabatan di Wisma FAM Kelana Jaya bagi persiapan untuk kejohanan bola sepak AFF Piala Suzuki 2016 di Myanmar. - Foto Osman Adnan

      KELANA JAYA: Skuad kebangsaan terpaksa berhempas pulas sebelum meraih kemenangan tipis 4-3 ke atas Skuad Bawah 22 tahun negara (B22) 4-3 pada aksi persahabatan di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), petang tadi.

 Kemenangan yang dilakar skuad senior ke atas pasukan bimbingan Frank Bernhardt itu pastinya memberi suntikan moral kepada anak buah Datuk Ong Kim Swee menjelang pertemuan menentang Papua New Guinea di Stadium Shah Alam, Isnin ini. Namun mereka membayar harga yang mahal atas kemenangan itu selepas kehilangan khidmat bek kiri, Ahmad Khuzaimi Piee yang terpaksa diusung keluar di pertengahan babak pertama.

Skuad kebangsaan ketinggalan seawal minit kelapan selepas Adam Nor Azlin menjaringkan gol pembukaan menerusi sepakan percuma sebelum Amri Yahyah mengikat kedudukan dengan penyudah kemas pada minit ke-23. Bagaimanapun, penyerang muda Kedah, Syafiq Ahmad kembali meletakkan skuad B22 mendahului permainan apabila menanduk masuk gol kedua enam minit berselang.

Skuad senior akhirnya bangkit di penghujung babak pertama yang menyaksikan pertahanan tengah, Shahrom Kalam meledak gol penyamaan sebelum rembatan voli Syazwan Zainon membolehkan skuad senior mendahului 3-2 selepas 45 minit perlawanan berlangsung.

Babak kedua menyaksikan gerakan menarik daripada sebelah sayap kanan B22 membolehkan Jafri Firdaus Chew menyamakan kedudukan 3-3 ketika perlawanan berbaki 12 minit.

Penyerang Johor Darul Ta'zim II (JDT II), Zaquan Adha nyata menjadi pemusnah selepas sentuhannya pada minit ke-85 menghadiahkan gol keempat buat skuad senior sekali gus membolehkan mereka meraih kemenangan 4-3.


Sumber-Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/211810

Tiada ulasan:

Catat Ulasan