Sabtu, 12 November 2016

Skuad negara kurang tekanan -- Perubahan kumpulan A ke B melegakan - Rahman


 

ARKIB : 23/01/1999
Skuad negara kurang tekanan -- Perubahan kumpulan A ke B melegakan - Rahman
ABDUL Rahman Ibrahim menjelaskan sesuatu kepada pelatih skuad bola sepak kebangsaan selepas selesai menjalani sesi latihan di padang Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam. - Gambar MOHD. NOOR AMIN.

JURULATIH kebangsaan, Abdul Rahman Ibrahim menyifatkan perubahan pasukan dalam kedua-dua kumpulan A dan B pada Kejohanan Bola Sepak Piala Dunhill di Vietnam bermula Jumaat depan sebagai berita baik bagi skuad negara.

Katanya, perubahan itu yang menyaksikan Malaysia diletakkan dalam kumpulan B bersama-sama Korea Selatan, China dan Bulgaria mengikis sedikit tekanan skuad negara berbanding ketika pembahagian kumpulan terdahulu.

''Dengan tiadanya Singapura dalam kumpulan kita sedikit sebanyak mengurangkan tekanan. Ini kerana sudah menjadi kebiasaan peminat kita yang begitu sukar menerima hakikat tewas kepada pasukan itu sejak dulu lagi,'' katanya mengulas mengenai perubahan pasukan dalam kumpulan itu di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.

Begitupun, cabaran Malaysia tetap sengit kerana Bulgaria, yang menghantar pasukan Olimpik mereka dan Korea Selatan serta China adalah antara pasukan pilihan kejohanan.

Sebelum ini, Malaysia diletakkan bersama-sama Singapura, Rusia dan Korea Selatan dalam kumpulan A manakala kumpulan B terdiri China, Myanmar, Iran dan tuan rumah Vietnam.

Bagaimanapun, penarikan diri Myanmar daripada kejohanan itu menyaksikan Bulgaria menggantikan pasukan itu. Sebelum itu, Poland turut menarik diri dan Iran menggantikan tempat itu.

Kehadiran Bulgaria dan Iran menyaksikan penganjur merombak semula pembahagian kumpulan yang menyaksikan Bulgaria diletakkan dalam kumpulan Malaysia bersama-sama China dan Korea Selatan.

Manakala kumpulan B terdiri Iran, Rusia, Singapura dan Vietnam.

Singapura kini menduduki ranking lebih atas daripada Malaysia yang kini ditempat ke-113 dalam FIFA.

Menurut Abdul Rahman, beliau kini dalam usaha menekankan aspek mentaliti dan fizikal pemain yang kurang cergas sejak skuad negara kembali menjalani latihan selepas dua hari berehat menyambut Hari Raya.

''Mereka nampaknya masih dalam mood berhari raya dan nampak tidak cergas apabila kembali berlatih.

''Saya faham keadaan mereka kerana hari raya masih segar di fikiran tetapi mereka harus mengembalikan kecergasan mereka sebelum kita berlepas ke Vietnam.

''Saya percaya dalam tempoh dua hari ini mereka akan bertenaga semula,'' katanya.

Skuad negara kembali berlatih selepas dua hari diberi cuti sempena Hari Raya dengan semua 19 pemain yang beraksi di Dubai lalu turun menjalani latihan kecuali Chee Wan Hoe yang baru kematian bapanya dan G. Shanmugam yang berkahwin, semalam.

Manakala mereka yang digugurkan sebelum ke Dubai seperti Idris Karim (Johor), V. Saravanan (Perak), Mohd. Nazri Yunos (Sarawak), Syamsol Mohd. Saad (Terengganu) dan penjaga gol Abdul Hadi Tahir (Selangor) kembali bersama-sama skuad.

Pemain tengah Selangor, Nazzab Hidzan yang dipanggil Abdul Rahman sekembali dari Dubai turun menjalani latihan, semalam.

Abdul Rahman memberitahu, pasukan negara akan mengadakan perlawanan persahabatan dengan bekas juara tiga kali berturut-turut Piala Malaysia, Selangor di Wisma FAM hari ini sebagai persiapan sebelum ke Vietnam.

Pasukan negara akan berlepas ke bandar Ho Chi Minh pada 27 Januari ini.

SENARAI PELATIH KEBANGSAAN
Penjaga gol: Azmin Azram Abdul Aziz, Zuraimi Hassan, Abdul Hadi Tahir.

Pertahanan: Khairul Anuar Baharom, A. Ganeson, Shamsul Amri Abu Bakar, Syamsol Mohd. Saad, Mohd. Nor Derus, Moey Kok Hong, Mohd. Nazri Yunos.

Tengah: Anuar Jusoh, Faizal Zainal, B. Rajinikandh, Idris Karim, Ahmad Shahrudin Rosdi, Ahmad Shahrul Azhar, Nazzab Hidzan, K. Sanbagamaran.
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0123&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4PoU6JRbU

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan