Sabtu, 12 November 2016

Malu andai tewas kepada PNG


 

Malu andai tewas kepada PNG
Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
KIM SWEE menuntut anak-anak buahnya agar mengambil serius aksi persahabatan menentang PNG di Stadium Shah Alam, Isnin ini.

ANDAI skuad Harimau Malaysia tewas kepada Papua New Guinea (PNG) pada aksi persahabatan di Stadium Shah Alam, Isnin ini mereka sudah boleh membuat ramalan sejauh mana boleh pergi pada kempen Piala AFF Suzuki 2016 di Myanmar minggu depan.

Atas kertas, skuad PNG bukan lawan Harimau Malaysia selepas menyaksikan pasukan tersebut dibelasah 8-1 oleh Iran pada aksi persahabatan di Stadium Shah Alam malam kelmarin.

Kekalahan besar yang dialami oleh PNG akan mengundang malu buat skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee nanti andai mereka gagal menampalkan aksi menarik untuk meraih kemenangan.

Itu antara amaran yang dilaungkan oleh Kim Swee kepada anak-anak buahnya apabila pasukan kebangsaan bakal bertemu PNG di venue yang sama pada Isnin ini.

“Kita harus mengambil serius perlawanan tersebut dan jika gagal menampilkan yang terbaik ia boleh menjejaskan semangat kita menjelang kempen Piala AFF Suzuki 2016 nanti. Walaupun aksi persahabatan (menentang PNG itu nanti) sekadar medan untuk memanaskan badan, tetapi kita perlu fokus untuk membentuk gaya permainan yang kita kehendaki,” kata Kim Swee semalam.

Sementara itu, skuad Harimau Malaysia sempat beraksi menentang pasukan bawah 22 tahun (B-22) negara yang mana pasukan senior kebangsaan berjaya menewaskan skuad muda negara itu 4-3 di padang latihan Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Pada perlawanan tersebut, empat gol Harimau Malaysia hadir menerusi Amri Yahyah, Shahrom Kalam, Syazwan Zainon dan Mohamad Zaquan Adha Abd. Radzak.

Selepas bolos tiga gol dengan skuad kendalian Frank Bernhardt, Kim Swee ternyata tidak berpuas hati dengan corak permainan pasukan bimbingannya selain mengakui mendapat sedikit gambaran untuk memperbaiki beberapa kelemahan sebelum bertemu PNG nanti.

“Ia satu perlawanan cukup bermakna untuk pasukan kita kerana saya dapat mengenal pasti beberapa kelemahan.

“Ini memberikan saya sedikit gambaran tentang apa yang kita perlu lakukan sebelum kita bermain menentang PNG.

“Gaya permainan masih belum begitu memuaskan. Kita tahu apabila pasukan B-22 bermain menentang pasukan senior, mereka akan memberikan satu tentangan cukup sengit dan ini bagus untuk persiapan pasukan kebangsaan,” katanya.

Sumber-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=1112&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4PoGugQSl Hakcipta terpelihara

Tiada ulasan:

Catat Ulasan