Sabtu, 12 November 2016

Usah pandang enteng!

 Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my
 
Petaling Jaya: Pengendali Harimau Malaysia Datuk Ong Kim Swee mengingatkan anak buahnya tidak terjebak dengan perangkap Papua New Guinea (PNG) dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Shah Alam, Isnin ini.

Jelas beliau, meskipun pasukan ranking satu Asia, Iran membelasah pasukan dari benua Oceania itu 8-1 dalam aksi persahabatan kelmarin, tidak bermakna pemain Harimau Malaysia boleh mengambil mudah perlawanan terakhir skuad negara sebelum ke Yangon, Myanmar bagi kempen Piala AFF.


“Itu bukan gambaran sebenar. Kita tidak boleh membandingkan Iran dengan PNG. Iran berada di tahap berbeza dan jika kita mengambil mudah dengan keputusan (kemenangan) Iran menewaskan PNG, saya pasti kita akan terjebak (kalah).

“Jadi, kita harus mengambil serius dengan apa yang ingin dilakukan terutama dalam persediaan kita menghadapi kempen Piala AFF,” katanya kepada pemberita semalam.

Kelmarin, Iran sepatutnya mengadakan aksi persahabatan menentang Thailand tetapi terpaksa dibatalkan susulan kemangkatan Raja Thailand Bhumibol Adulyadej lantas mereka mengatur perlawanan dengan PNG.

PNG pernah mengalahkan Malaysia 2-0 dalam aksi persahabatan Jelajah Oceania Jun lalu.

Kim Swee semalam turut mengambil kesempatan menguji anak buahnya dalam aksi persahabatan dengan pasukan Bawah 22 tahun negara (B-22) di padang latihan Wisma FAM yang berkesudahan skuad senior menang 4-3.

Empat gol Harimau Malaysia hadir menerusi Amri Yahyah, Shahrom Kalam, Syazwan Zainon dan Zaquan Adha Abd Radzak.

“Satu perlawanan yang cukup baik untuk pasukan kita kerana saya dapat memberikan 45 minit sekurang-kurangnya kepada setiap pemain dengan cuaca tidak begitu baik dan padang agak lembut.

“(Permainan) masih belum begitu memuaskan. Kita tahu apabila pasukan B-23 bermain dengan pasukan senior, mereka akan memberikan tentangan cukup sengit dan ini bagus untuk pasukan kebangsaan kerana kita perlukan intensiti seperti ini apabila bermain di peringkat lebih tinggi,” katanya.

Namun apa yang meresahkan Kim Swee apabila pemain pertahanan kiri Ahmad Khuzaimi Piee terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan hamstring.

Beliau mengesahkan belum membuat keputusan sama ada akan memanggil pengganti.

Sumber-Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 November 2016 @ 5:18 AM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan