SAFAWI semangat rebut tempat
utama.
Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my
Petaling Jaya: Baru berusia 19
tahun, Muhammad Safawi Rasid bakal menjadi pemain paling muda negara beraksi
dalam Piala AFF 2016 jika berjaya berada dalam senarai akhir 23 pemain skuad
Harimau Malaysia kendalian Datuk Ong Kim Swee.
Dia yang membuat penampilan
pertama di pentas antarabangsa bersama skuad senior ketika tewas 0-3 kepada
Indonesia dalam aksi persahabatan 6 September lalu turut diturunkan ketika
Malaysia seri 0-0 dengan Singapura pada 7 Oktober.
Safawi yang dilaporkan bakal
berhijrah ke Johor Darul Ta’zim (Johor DT) dari T-Team mengakui sudah dapat
membentuk keserasian bersama pemain lebih senior.
“Saya tak ada masalah bersama
skuad kebangsaan sekarang, masing-masing sudah mengenali satu sama lain,
kombinasi pemain sudah bertambah baik,” katanya.
Ketika kali terakhir Malaysia
memenangi Piala AFF 2010, Safawi tidak menyangka kini bersama satu pasukan
dengan beberapa pemain skuad juara itu.
“Saya tak sangka, dulu dalam
fikiran saya hanya mahu bermain dengan skuad kebangsaan, tak sangka rezeki saya
datang awal.
“Buat masa ini saya hanya mahu
merebut tempat dalam skuad ke Piala AFF dan selepas itu jika dipilih, baru saya
fokus untuk berada dalam kesebelasan utama,” jelasnya.
Safawi memiliki kepantasan
untuk mengatasi pertahanan lawan dan ia tidak mengejutkan jika dia bakal
beraksi pada perlawanan pemanas badan menentang Papua New Guinea di Stadium
Shah Alam Isnin ini.
“Saya sudah dua kali bermain
dalam kesebelasan utama sebelum ini, jika diberi peluang, Insya-Allah saya akan
buat yang terbaik.
“Memang harapan saya untuk
membantu pasukan membawa pulang semula Piala AFF ke Malaysia,” katanya.
Sumber-Artikel ini disiarkan
pada : Sabtu, 12 November 2016 @ 5:17 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan