Sabtu, 5 November 2016

VIDEO] Kemboja mampu undang bahaya

VIDEO] Kemboja mampu undang bahaya
HARADIAN SHAH HAMDAN  |  04 November 2016 12:14 AM 
TELOK KEMANG 3 Nov. – Kemboja diramal menjadi lawan sukar buat Harimau Malaysia dalam saingan Kumpulan B Piala AFF yang bermula 20 November ini di Myanmar.
Ketua Jurulatih skuad kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee nyata tidak memandang ringan cabaran pasukan tersebut yang bakal menjadi lawan pertama negara dalam kejohanan itu.
Katanya, beliau menjangkakan saingan sengit daripada Kemboja yang mencatat prestasi cemerlang apabila menang kesemua tiga perlawanan kelayakan Piala AFF pada Oktober lalu.

“Saya telah menghantar pembantu saya untuk melihat dan menilai permainan Kemboja yang menang tiga perlawanan kelayakan sebelum ini.
“Penting untuk kita mencatat kemenangan dalam perlawanan pertama,” katanya ketika ditemui pada Kem Bina Semangat skuad kebangsaan di Hotel Thistle, Port Dickson di sini hari ini.
Seramai 26 pemain menyertai kem selama tiga hari itu bagi persiapan menghadapi Piala AFF.
Kali terakhir Malaysia memenangi Piala AFF ialah pada 2010.
Sementara itu, Kim Swee berkata, perlawanan persahabatan menentang Papua New Guinea (PNG) pada 14 November akan digunakan bagi menilai pemain yang bakal membarisi kesebelasan utama.
“Saya belum dapat bayangan 11 pemain yang akan membarisi skuad kebangsaan.
“Saya tidak menolak kemungkinan pasukan yang bermain menentang PNG nanti bakal mengisi kesebelasan utama.
“Bagaimanapun, saya berharap semua pemain akan me­nunjukkan prestasi terbaik ke­rana saya akan menilai kesemua pemain,” katanya.
Mengulas mengenai kem bina semangat itu, Kim Swee berkata, program itu dapat menerapkan semangat kerjasama dalam kalangan pemain.
Turut hadir dalam kem hari ini adalah Setiausaha Agung Persa­tuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin.

- SUMBER: https://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/video-kemboja-mampu-undang-bahaya-1.403170#sthash.XVqIbJcL.dpuf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan