Sabtu, 5 November 2016

Lupakan semua isu peribadi

06 November 2016 12:06 AM
Ong KIM SWEE (kiri) memberi penerangan kepada pemain Harimau Malaysia
Ong KIM SWEE (kiri) memberi penerangan kepada pemain Harimau Malaysia dalam sesi latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam sebagai persiapan menghadapi Piala AFF. mingguan/Mohd. Shaharani Saibi
KUALA LUMPUR 5 Nov. – Ketua Jurulatih Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swee percaya, pemainnya tidak akan terganggu de­ngan isu peribadi, terutama ketika pasaran perpindahan hangat diperkatakan, sebaliknya memberi tumpuan kepada persiapan Piala AFF yang bakal bermula 19 November ini.
Sebaik sahaja Liga Malaysia (Liga M) musim 2016 melabuhkan tirai dengan final Piala Malaysia menjadi penutup kalendar pada 30 Oktober lalu, beberapa tonggak skuad kebangsaan menjadi tumpuan perpindahan, terutama bek kanan Kedah, Mohd. Rizal Ghazali, pemain ‘terhangat’ di pasaran ketika ini.
“Saya percaya mereka semua profesional dan tahu yang mana perlu didahulukan dan ini bagi saya secara automatik mereka harus memberi perhatian dan keutamaan kepada persiapan kita dahulu. Perkara yang lain itu sudah tentu mereka fikir selepas Piala AFF nanti,” kata Kim Swee kepada pemberita di sini hari ini.
Ketika ini terdapat banyak khabar angin mengenai perpindahan pemain bagi menghadapi Liga M 2017, terutamanya di laman sosial bagaimanapun kesahihan berita tersebut tidak dapat disahkan.
Dalam pada itu, Kim Swee memberitahu, dia mahu memberi tumpuan kepada latihan taktikal selepas ini dalam usahanya mencari kombinasi terbaik untuk digunakan bagi menghadapi kempen Piala AFF kelak di Myanmar.
“Selepas ini fokus kami lebih kepada taktikal pasukan. Kami tidak lagi melakukan latihan yang tidak berunsurkan taktikal. Ini penting untuk saya bagi mencuba beberapa kombinasi dan sistem perlawanan,” katanya lagi.
Sementara itu, penyerang Johor Darul Ta’zim II (JDT II), Mohd. Zaquan Adha Abdul Radzak berkata, keakraban antara rakan sepasukan semakin utuh selepas Harimau Malaysia menjalani kem bina semangat di Port Dickson, minggu ini malah ia turut memberi kesan positif kepada pasukan.
“Saya lihat hungan antara kami semakin rapat kerana sebelum ini kami bersama pasukan masing-masing dan tiada masa nak kumpul bersama sebelum ini.
“Kem ini juga membuatkan kami bersemangat untuk meneruskan apa yang telah kami lakukan dan boleh digunakan ketika beraksi nanti.
“Kita akan menghadapi Piala AFF dua minggu lagi dan pen­ting untuk kami memantapkan persefahaman, selain persiapan daripada segi fizikal dan mental,” katanya.
Malaysia, yang kali terakhir muncul juara Piala AFF pada 2010 akan beraksi dalam Kumpulan B bersama Myanmar, Kemboja dan Vietnam

- SUMBER: https://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/lupakan-semua-isu-peribadi-1.404091#sthash.r2yCk4bw.dpuf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan