Sabtu, 5 November 2016

Hatem tidak mahu letak harapan di Sri Lanka

 ARKIB : 24/10/1998
JURULATIH skuad bola sepak Olimpik 2000, Hatem Souissi tidak mahu terlalu menaruh harapan tinggi untuk mengukir kejayaan pada Kejohanan Piala Bristol Freedom di Sri Lanka, 15 November ini.

Sebaliknya skuad yang gagal beraksi cemerlang di Piala Tiger, Vietnam bulan lepas menjanjikan persembahan paling mantap sebagai dorongan buat menghadapi pusingan kelayakan Olimpik Sydney, tahun depan.

''Saya tidak menjanjikan apa-apa, tetapi kejohanan ini adalah sebahagian daripada ujian terbaik kepada pemain kerana mereka berdepan dengan pasukan yang lebih senior.

''Yang pastinya pemain perlu membuktikan kewibawaan sebenar mereka dan kalau berjaya ini merupakan satu dorongan kuat,'' ujar Hatem.

Jurulatih dari Tunisia itu tidak lagi rela dengan kesilapannya lama berulang sepertimana yang dialami oleh anak buahnya sewaktu gagal layak ke separuh akhir Piala Tiger, bulan lepas.

''Kesilapan itu banyak mengajar saya dan kini saya lebih yakin dengan kemampuan mereka bersaing kali ini,'' katanya lagi.

Pada kejohanan itu skuad Olimpik diletakkan bersama-sama tuan rumah Sri Lanka, India dan Maldives.

Beliau menganggap ujian dengan skuad kebangsaan India dan Sri Lanka yang dalam persiapan menghadapi Sukan Asia di Bangkok sebagai cabaran paling getir buat pemainnya.

''Saya tidak memperkecilkan kewibawaan India dan Sri Lanka walaupun mereka bukan daripada kalangan pasukan gergasi Asia.

''Tetapi buat pemain, ini adalah sebagai pendedahan dan pengalaman terbaik kepada mereka,'' katanya.

Sebagai ujian awal skuad negara akan berlepas ke Chiang Mai, Ahad ini menghadapi empat perlawanan persahabatan termasuk bertemu dengan skuad Thailand yang turut mempersiapkan diri menghadapi Sukan Asia nanti.

''Pertemuan dengan Thailand adalah ujian paling getir buat pemain kerana berdepan dengan pasukan terbaik di Asia. Selain itu ini juga adalah pengalaman terbaik kepada pemain,'' katanya.

Menurut Hatem, skuad Olimpik akan lebih serius lagi dalam siri perlawanan persahabatan sebagai persiapan terakhir sebelum menghadapi pusingan kelayakan Olimpik tahun depan.

Pada pusingan Olimpik nanti Malaysia diletakkan bersama-sama pasukan pilihan Jepun selain Hong Kong dan Nepal.

Pusingan kelayakan dijadualkan berlangsung Mei tahun depan.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1024&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4P86xOLa0 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan