Sabtu, 5 November 2016

Olimpik 2000 uji medan baru

ARKIB : 20/10/1998
SELEPAS kecaman hebat ekoran kegagalan di Piala Tiger, kini skuad Olimpik 2000 mahu menebus kehampaan untuk mengukir kejayaan apabila diundang menyertai Kejohanan Piala Bristol Freedom di Sri Lanka, 15 November depan, lapor AMRAN MULUP.

Begitupun, ketua jurulatih, Hatem Souissi enggan memahatkan janji sebaliknya lebih tertumpu untuk mempamerkan aksi menarik berbanding ketika menyertai Piala Tiger di Vietnam bulan lepas.

Kehadiran beberapa pemain yang sebelum ini diketepikan dipanggil semula dan muka baru, turut melegakan Hatem kombinasi kini di tahap yang membanggakan.

Antara yang dipanggil semula ialah Mohd. Rafdi Rashid, Rauf Ahmad dan K. Nanthakumar. Manakala empat pemain skuad bawah 19 yang dipimpin oleh Hatem turut dipanggil ialah Jaafar Salleh, Shawal Johari, R. Nandakumar dan Kamarulzaman Hassan.

''Semangat pemain tidak terjejas selepas kecaman hebat ekoran kegagalan di Piala Tiger.

''Manakala pemain lama dan baru yang dipanggil, mula memberikan komitmen tinggi,'' jelas jurulatih berasal dari Tunisia itu.

Jelasnya, kejohanan di Sri Lanka adalah medan ujian terbaik untuk pemain Olimpik membuktikan kekuatan sebenar sebelum mengharungi pusingan kelayakan Olimpik tahun depan.

Pada kejohanan Piala Bristol Freedom, skuad negara diletakkan bersama Maldives, India dan tuan rumah Sri Lanka.

''Saya tidak meletakkan sebarang sasaran, yang penting ini sebagai pendedahan kepada pemain untuk menghadapi pusingan kelayakan Sukan Olimpik tahun depan,'' katanya lagi.

Sebelum itu, skuad Olimpik 2000 akan menguji kekuatan apabila mengadakan empat perlawanan persahabatan menentang skuad bola sepak Thailand dan Myanmar yang akan menyertai Sukan Asia di Bangkok.

Menurut Hatem keempat-empat perlawanan itu berlangsung di Thailand di mana skuad negara akan mengharungi dua perlawanan persahabatan menentang Thailand pada 24 dan 26 Oktober di Chiang Mai.

Manakala dua lagi perlawanan pula dengan Myanmar pada 28 dan 31 Oktober.

''Empat perlawanan ini benar-benar akan menguji kemantapan pemain Olimpik. Kita akan menentang pasukan senior Thailand yang dalam persiapan ke Sukan Asia.

''Ini penting buat pemain berdepan dengan sebuah pasukan yang kuat di rantau ASEAN. Ia juga bakal menjadi pengalaman bermakna untuk ditimba oleh pemain,'' jelas Hatem lagi.

Pada pusingan kelayakan Sukan Olimpik Sydney tahun depan Malaysia diundi bersama-sama pasukan pilihan Jepun selain Nepal dan Hong Kong.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1020&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4P7jEVFsV © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan