Jumaat, 4 November 2016

Skuad kebangsaan dibentuk semula


ARKIB : 13/10/1998
PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) membentuk semula skuad kebangsaan, setahun selepas membubarkannya ekoran kekalahan memalukan 1-0 di tangan Laos pada Sukan SEA di Jakarta.

Perkara itu diumumkan oleh Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, mengakui hakikat skuad bola sepak kebangsaan perlu ditubuhkan semula.

''Penubuhan skuad kebangsaan ini dengan matlamat untuk mencapai kejayaan pada landasan yang sebenarnya tidak seperti sebelumnya.

''FAM sudah memikirkan inilah masa yang tepat kita membentuk skuad yang cukup mantap dianggotai pemain-pemain yang benar-benar mahu mengharumkan nama negara,'' ujar Tengku Abdullah pada sidang akhbar di pejabatnya semalam.

Bagaimanapun penubuhan skuad kebangsaan tidak menjejaskan skuad Olimpik di bawah jurulatih Hatem Souissi yang akan mengharungi pusingan kelayakan Olimpik 2000 tahun depan.

Jelasnya, serentak dengan itu juga satu jawatankuasa baru, khusus untuk pembentukan skuad kebangsaan ditubuhkan diketuai oleh Naib Presiden FAM, Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar yang dilantik sebagai pengurus pasukan.

Di samping itu, enam panel jawatankuasa pemilihan pula dianggotai oleh Dell Akbar Khan, M. Chandran, Jamal Nasir, Soh Chin Aun, Sattoh Kimpoh dan Ali Bakar.

''Misi awal kita adalah untuk menebus semula maruah pada Sukan SEA di Brunei tahun depan. Selain itu skuad ini juga akan menyertai Kejohanan Piala Dunhill di Vietnam Februari tahun depan.

''Buat masa ini FAM tidak meletakkan sebarang matlamt pada kejohanan yang besar biarlah buat masa ini tumpuan pada Sukan SEA dulu termasuk pada tahun 2001,'' katanya.

Menurut Tengku Abdullah, barisan pemain yang akan dipilih adalah di antara umur 23 hingga 25 tahun.

Selain itu beberapa pemain senior juga akan turut dipanggil semula bagi memperkuatkan skuad berwajah baru.

Jelasnya, pemain senior yang berpengalaman dipanggil bertindak sebagai ketua.

Bagaimanapun katanya, FAM masih merahsiakan nama dua jurulatih baru yang akan melatih skuad kebangsaan yang akan diumumkan nanti.

Beliau tidak menolak kemungkinan khidmat jurulatih luar diambil bergandingan dengan jurulatih tempatan.

''Setakat ini kita sudah mengenal pasti jurulatih yang akan diberikan tanggungjawab ini tetapi saya tidak dapat umumkan sekarang,'' katanya.

Jelasnya, situasi yang menimpa skuad kebangsaan ketika dimalukan oleh Laos di Jakarta tidak akan membendung skuad kali ini.

''Kita gagal di Jakarta kerana masa latihan yang terlalu singkat selain sikap pemain yang tidak begitu pentingkan untuk mewakili negara.

''Apa yang terjadi di Jakarta tidak akan berulang semula dengan penampilan semula skuad kali ini,'' jelasnya.

Tengku Abdullah menambah FAM tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pegawai atau pemain yang tidak memberikan komitmen apabila dipilih mewakili skuad kebangsaan.

Jelasnya lagi, jawatankuasa akan mula mencari pemain pada pertandingan Piala Malaysia yang sedang rancak berlangsung.

Oleh: AMRAN MULUP

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1013&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4P6fqtPPr © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan