Sabtu, 5 November 2016

Kena kerja keras: Hadin


 
HADIN (dua dari kanan) ketika menjalani latihan.
Kuala Lumpur: Diangkat sebagai penyelamat skuad Harimau Malaysia ketika mengikat Afghanistan seri 1-1 dalam aksi persahabatan antarabangsa Oktober lalu belum cukup untuk Muhammad Hadin Azman mendapat tiket automatik bersama pasukan ke kejohanan Piala AFF di Yangon, Myanmar bermula 20 November ini.

Pemain sayap FELDA United itu mengakui perlu berusaha keras untuk memikat hati jurulatih kebangsaan Datuk Ong Kim Swee dalam saingan merebut tempat dalam skuad 23 pemain ke Yangon.

“Persaingan memang sengit sebab ramai pemain senior, saya baru lagi dan masih banyak perlu belajar.


“Belum 100 peratus dapat (tempat ke Piala AFF), itu mungkin nasib saya dapat jaringkan gol, saya kena masih kerja keras,” kata Hadin.

Hadin yang berusia 22 tahun, antara pemain muda menjalani latihan pusat bersama skuad kebangsaan bermula 25 Oktober lalu.

Nama pemain kelahiran Kuala Lumpur ini secara tiba-tiba menjadi sebutan apabila menjaringkan gol penyamaan menerusi tandukan ketika Harimau Malaysia menentang Afghanistan di Shah Alam bulan lalu.

Hadin hanya memerlukan aksi kedua di pentas antarabangsa untuk mencipta jaringan selepas kali pertama diturunkan Kim Swee sebagai gantian ketika seri 0-0 dengan Singapura dalam aksi persahabatan 7 Oktober lalu.

Dia berharap dapat mengukuhkan tempat bagi membantu pasukan mencapai sasaran selepas kali pertama dan terakhir muncul juara pada 2010.

“Tahun ini memang saya sasarkan untuk bermain Piala AFF dan berharap sangat disenaraikan. Impian memang nak bantu pasukan jadi juara,” kata Hadin.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 November 2016 @ 7:25 AM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan