ARKIB : 06/11/1998
TIMBALAN Presiden Persatuan
Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata, beliau
tidak dapat menerima kenyataan bahawa pasukan Olimpik 2000 dibelasah teruk
sehingga 9-0 pada perlawanan persahabatan di Thailand baru-baru ini, lapor NOR
SEDEK ISMAIL.
Kekalahan itu katanya, tidak
boleh dipandang ringan dan satu bedah siasat yang melibatkan pihak pengurusan
dan pemain akan dilakukan dalam masa terdekat.
Bagi tujuan itu jelas, Tengku
Abdullah pihak pengurusan dan jurulatih perlu bertanggungjawab untuk mengemukakan
laporan lengkap mengenainya.
Bagaimanapun, katanya, sehingga
kini beliau belum lagi menerima laporan tersebut.
''Saya memandang serius dengan
kekalahan itu dan amat dukacita dengan mutu permainan yang yang dipersembahan
oleh skuad tersebut.
''Tempoh kita semakin lama
semakin singkat dan kekalahan itu tidak mencerminkan persiapan pasukan
berkenaan. Kita tidak mahu kemelut kemunduran itu berterusan,'' katanya kepada
pemberita di Temerloh semalam.
Skuad Olimpik 2000 bimbingan
Hatem Souissi itu memang dibentuk khas oleh FAM untuk menyahut cabaran
menyalakkan diri pada Sukan Olimpik nanti.
Pada perlawanan persahabatan
dengan skuad Sukan Asia Thailand itu selain dimalukan 9-0, mereka juga tewas
1-5 dan 2-4 yang kini menjadi isu kepada peminat dan pemerhati bola sepak tanah
air.
Tengku Abdullah yang berulang
kali mengulangi rasa kecewa juga turut mempersoalkan keberkesanan pengurusan
yang dipertanggungjawab untuk menjadi pemerhati kepada Hatem.
Katanya, sejak tiga tahun lalu
pengawasan dan penilaian kelancaran Skuad Olimpik 2000 telah dilakukan tetapi
ternyata hasilnya tidak begitu memberangsangkan.
''Saya akan membuat sedikit
sebanyak perubahan ke atas pengurusan,'' jelasnya namun tidak mengulas lanjut
mengenai perkara itu.
Menjawab soalan, Tengku
Abdullah berkata, tindakan ke atas pemain yang didapati terlibat dalam salah
laku akan bergantung kepada laporan yang dikemukakan oleh pihak pengurusan.
Katanya, tanggungjawab
mengawasi pemain diamanahkan kepada pengurus dan jurulatih jika terdapat laporan
salah laku tindakan sewajarnya akan dikenakan.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1106&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4PDX5RaBp
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan