Jumaat, 11 November 2016

Tarik diri: Nazri perlu ada jawapan


 

ARKIB : 11/01/1999
Tarik diri: Nazri perlu ada jawapan
MOHD. NAZRI YUNOS.

PEMAIN tengah Sarawak, Mohd. Nazri Yunos perlu menyediakan jawapan terbaik di atas penarikannya daripada skuad negara ke UAE (Amiriah Arab Bersatu), jika berhajat menyarung jersi kebangsaan, lapor NORZIE MOHD. KHASBI.

Pengurus pasukan, Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar, berkata Nazri harus membuktikan jika dia benar-benar tidak mampu beraksi dalam masa terdekat hingga terpaksa menarik diri.

''Saya mahu bertemunya selepas pulang dari Dubai dan minta dia menjelaskan sebab menarik diri,'' kata Raja Ahmad di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), malam kelmarin.

Nazri adalah antara 20 pemain yang disenarai untuk beraksi pada perlawanan ujian lapan hari itu, tetapi menarik diri dengan alasan kurang yakin pada diri sendiri.

Menurut Raja Ahmad, walaupun peluang buat lapan pemain yang diketepikan dari skuad kebangsaan masih terbuka, Nazri perlu membuktikan kejujurannya sebelum boleh menyertai latihan fasa terakhir bermula pada 21 Januari ini.

''Kami lebih bertegas menangani skuad kebangsaan kali ini kerana tidak mahu insiden Sukan SEA di Jakarta (1997) berulang,'' katanya.

Meskipun memuji sikap berterus terang pemain itu, Raja Ahmad, berkata alasan ''kurang yakin pada diri sendiri'' belum cukup kukuh.

''Pada saya ini soal disiplin. Jika kita benarkan seseorang pemain itu menarik diri sesuka hati, mungkin ia akan diikuti pemain yang lain.''

Katanya, jawapan Nazri selain prestasi terkininya akan menentukan sama ada dia layak mewakili negara di Kejohanan Piala Dunhill di Ho Chi Minh, Vietnam pada 29 Januari hingga 7 Februari ini.

''Dia (Nazri) mungkin antara pemain yang akan dipanggil semula menghadapi Piala Dunhill, tetapi banyak yang perlu dibuktikannya.''

Selain Nazri, turut digugurkan daripada skuad kebangsaan adalah penjaga gol Selangor, Abdul Hadi Tahir, penyerang Kuala Lumpur, S. Paidiya Rau, pemain tengah Johor, Idris Karim dan Syamsol Mohd. Saad dari Terengganu.

Terdahulu, jurulatih negara, Abdul Rahman Ibrahim mengetepikan penyerang Perak, V. Saravanan dan M. Nagaraja serta pemain Sabah, Yap Wai Loon.


Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0111&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4PhrqP57b © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan