Jumaat, 11 November 2016

Lima digugur usah kecewa

ARKIB : 09/01/1999
 
PEMAIN Sarawak, Mohd. Nazri Yunos (membawa bola) antara empat pemain yang digugurkan daripada skuad bola sepak kebangsaan, semalam. Sebanyak 19 pemain dipilih untuk perlawanan persahabatan di UAE dan pasukan negara akan berlepas ke sana, hari ini.

PENJAGA gol Selangor, Abdul Hadi Tahir, penyerang Kuala Lumpur, S. Paidiya Rau, pemain tengah Idris Karim dari Johor dan Syamsol Mohd. Saad dari Terengganu serta pemain Sarawak, Mohd. Nazri Yunos digugurkan daripada skuad bola sepak kebangsaan, semalam.

Pengurus pasukan, Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar mengumumkan barisan terakhir 19 pemain itu di Ipoh, semalam sebelum pasukan negara berlepas ke Dubai, Amiriah Arab Bersatu (UAE) hari ini untuk mengadakan tiga perlawanan persahabatan.

Raja Ahmad berkata, lapan daripada jumlah asal 27 pemain dalam skuad yang digugurkan bukan bermakna mereka tidak berpeluang untuk kembali dipanggil ke dalam skuad.

''Keputusan menggugurkan lapan pemain ke Dubai terpaksa dibuat kerana mereka menghadapi masalah kecederaan dan peribadi,'' katanya.

Sebelum lima pemain itu digugurkan semalam, tiga pemain sudah digugurkan lebih awal iaitu penyerang Perak, V. Saravanan dan M. Nagaraja serta pemain Sabah, Yap Wai Loon.

Saravanan dan Nagaraja mengalami kecederaan manakala Wai Loon menghadapi masalah keluarga selepas kematian bapanya, minggu lalu.

Jurulatih negara, Abdul Rahman Ibrahim ketika ditemui di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam berkata, Nazri sebelum itu dipilih antara 20 pemain tetapi menarik diri kerana menyuarakan rasa kurang yakin dengan kemampuannya beraksi untuk negara.

''Walaupun sudah sembuh daripada kecederaan lutut yang lama ditanggungnya, dia tidak yakin dapat memberikan komitmen kepada skuad,'' katanya.

Abdul Rahman berkata, Syamsol dan Idris mengalami kecederaan pangkal paha semasa latihan manakala Abdul Hadi digugurkan kerana tidak berada pada prestasi memuaskan semasa latihan berbanding Zuraimi Hassan dari Pahang.

''Paidiya pula belum dapat menyesuaikan diri dengan situasi skuad kebangsaan dan belum bersedia untuk berkhidmat untuk negara.

''Saya rasa dia perlu banyak lagi beraksi dalam Liga Malaysia,'' katanya.

Begitupun, Abdul Rahman berkata, peluang Saravanan, Nagaraja, Syamsol, Idris, Hadi, Paidiya, Nazri dan Wai Loon untuk dipanggil semula belum lagi tertutup rapat.

Menurutnya, 19 pemain yang terpilih itu termasuk tujuh muka baru belum boleh mendabik dada kerana mereka juga akan digugurkan jika ambil mudah dan tidak serius dalam mempamerkan kemampuan sebenar.

''Kita akan panggil lagi beberapa pemain lain untuk mengikuti fasa ketiga latihan pusat sekembalinya dari UAE pada 16 Januari nanti.

''Setakat ini kita telah pun mengenal pasti beberapa orang daripadanya termasuklah bekas pemain kebangsaan yang berpengalaman,'' ujarnya.

Begitupun, Abdul Rahman hanya menamakan pemain Selangor, Nazzab Hidzan untuk dipanggil ke dalam skuad selepas lawatan di Dubai.

Dalam pada itu Raja Ahmad Zainuddin berkata, tiga perlawanan ujian di UAE sekadar mahu menentukan posisi dan membentuk persefahaman antara pemain.

''Keputusan perkara kedua tetapi jika menang ia boleh dianggap bonus kerana persiapan sebenar kita ialah Piala Dunhill di Vietnam yang akan berlangsung 29 Januari ini,'' tegasnya.

Difahamkan, Raja Ahmad Zainuddin tidak bersama-sama skuad ke Dubai dan penolongnya, Datuk Jamal Abdul Nasir Ismail akan mengetuai skuad negara ke sana.

Oleh: JOHARI SHAWAL

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0109&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4Phei9rSg © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan