Jumaat, 11 November 2016

Hashim ketuai skuad negara di Rio

ARKIB : 07/01/1999
BEKAS penyandang anugerah Kasut Emas sebanyak tiga kali, Hashim Mustapha mengetuai cabaran Malaysia pada Kejohanan Bola Sepak Pantai Dunia di Rio de Janeiro, Brazil 9 hingga 17 Januari ini.

Hashim yang berasal dari Kelantan diberi penghormatan menguatkan barisan serangan pasukan negara.

''Hashim pernah menyandang anugerah kasut emas pada 1990, divisyen Dua 1993 dan Divisyen Satu 1994. Dia adalah penyerang yang sudah terbukti kepakarannya dan sesuai untuk pasukan ini,'' kata jurulatih Malaysia, M. Karathu.

''Saya yakin dengan kehadiran Hashim memperkuatkan cabaran negara kali ini.''

Selain Hashim, Karathu yang juga pengurus pasukan, turut menyenaraikan beberapa bekas pemain kebangsaan untuk kejohanan yang berlangsung di pantai terkenal Copacabana, Rio De Janeiro.

K. Gunalan diletakkan sebagai pertahanan belakang sementara Rosli Omar, yang bermain untuk Negeri Sembilan dalam Liga-M akan mengemudi bahagian tengah.

Penyerang veteran, Hassan Sani, yang bermain dalam tiga Kejohanan Cabaran Bola sepak Pantai Mild Seven di Stadium Negara Kuala Lumpur akan berpasangan dengan Hashim di bahagian serangan. Hassan berpengalaman bermain atas pasir.

Pemain lain termasuklah bekas pemain pertahanan Pahang dan Negeri Sembilan, Raizuwah Idris, penjaga gol yang sedang meningkat, Mohd Hamsani Ahmad dan Thoong Thee Eng serta K. Padmanathasivan.

''Pasukan kita boleh dikatakan baik tahun ini. Walaupun tidak mempunyai banyak masa melakukan persiapan, pemain meletakkan satu tujuan - memberi persembahan terbaik.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0107&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4Phb1p3bU © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan