Jumaat, 11 November 2016

Barisan terakhir dinamakan esok


 

ARKIB : 07/01/1999
Barisan terakhir dinamakan esok
PELATIH skuad bola sepak negara, Abdul Ghani Malek (kiri), Khairul Anuar Baharom dan Mohd. Nor Derus berlatih di bawah tunjuk ajar penolong jurulatih kebangsaan, Lim Chuan Chin (kanan) sambil diperhatikan pelatih lain di padang Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam. - Gambar ROSNI MASRI.

BARISAN terakhir pasukan bola sepak kebangsaan yang bakal menyertai Kejohanan Piala Dunhill di Vietnam hujung bulan ini - tugas pertama skuad negara yang baru dibentuk - akan diumumkan esok.

Pengurus pasukan, Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar dijangka mengumumkan barisan itu dan menamakan empat pemain yang bakal digugurkan daripada 24 pelatih.

Sebelum ini, tiga daripada 27 pelatih skuad kebangsaan iaitu penyerang Perak, V. Saravanan dan M. Nagaraja serta pemain Sabah, Yap Wai Loon telah digugurkan lebih awal.

Saravanan dan Nagaraja digugurkan kerana mengalami kecederaan yang memakan masa untuk sembuh manakala Wai Loon terpaksa bersama keluarga selepas kematian bapanya, minggu lalu.

Kini skuad negara yang dibimbing bekas jurulatih Terengganu, Abdul Rahman Ibrahim hanya akan menggugurkan empat lagi pemain.

Difahamkan, pemain Terengganu, Syamsul Mohd. Saad mengalami kecederaan pangkal paha semasa latihan dan nasibnya untuk berada dalam skuad begitu samar.

Dalam tempoh seminggu ini, Syamsol dilihat hanya memerhati dari luar padang rakan-rakannya berlatih.

Selain itu, penjaga gol Azmin Azram Abdul Aziz difahamkan telah disahkan sebagai penjaga gawang utama negara dan kini Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan memilih seorang lagi penjaga gol, antara Abdul Hadi Tahir dari Selangor dan Zuraimi Hassan dari Pahang.

Tiga penjaga gol dipilih untuk menjalani latihan pusat peringkat kedua ini dan hanya dua dipilih untuk pasukan negara ke Piala Dunhill.

Begitupun, mereka yang digugurkan masih berpeluang untuk dipanggil semula untuk kejohanan-kejohanan lain termasuk Sukan SEA di Brunei, Ogos ini.

FAM terpaksa membuat penyenaraian muktamad skuad negara sebelum pasukan berlepas ke Dubai, Amiriah Arab Bersatu (UAE) Sabtu ini untuk mengadakan tiga perlawanan persahabatan di sana.

Pasukan negara dijangka menentang pasukan kebangsaan UAE dan kelab di negara itu sehingga 16 Januari.

Selepas lawatan itu, pemilihan pusingan kedua akan dijalankan dengan beberapa lagi muka baru akan diketengahkan untuk latihan pusat sebelum Piala Dunhill.

Pelatih negara semalam menjalani latihan kemahiran mengawal dan menendang bola ke gawang.

Jurulatih Abdul Rahman berkata, buat masa ini skuad negara tidak perlu terlalu menumpukan kepada latihan fizikal yang maksimum.

''Cukuplah dengan latihan-latihan kecergasan di padang. Saya rasa belum masanya kita bawa pemain naik turun bukit mencari kemantapan fizikal,'' katanya di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0107&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4PhZRkwUI © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan