Jumaat, 11 November 2016

Abd. Rahman bimbang tiada penyerang berbisa


 

ARKIB : 06/01/1999
Abd. Rahman bimbang tiada penyerang berbisa
PELATIH skuad bola sepak kebangsaan, B. Rajinikandh dari Negeri Sembilan (kiri) dan Moey Kok Hong dari Pulau Pinang antara 27 pemain yang menjalani latihan pemilihan di padang Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.

KETIADAAN penyerang bertaraf antarabangsa kini menghantui fikiran jurulatih pasukan bola sepak kebangsaan, Abdul Rahman Ibrahim dalam usaha membentuk skuad baru negara yang mantap.

Jurulatih itu berkata, pasukan baru negara cuma mempunyai penyerang yang belum mempunyai pengalaman di peringkat itu dan hanya bermain dalam liga kebangsaan.

''Skuad kita ini tiada penyerang bertaraf demikian. Yang ada cuma penyerang di peringkat kebangsaan. Memang kita perlukan penyerang yang mempunyai pengalaman di peringkat itu.

''Pada ketika ini, sukar untuk membentuk tenaga penggempur yang berwibawa tetapi saya percaya kita bakal mempunyai barisan serangan yang mantap dalam tempoh yang saya tetapkan iaitu sebelum Ogos ini,'' katanya.

Menurut Abdul Rahman, penyerang bertaraf antarabangsa atau yang mempunyai pengalaman di peringkat itu penting dalam skuad kerana mereka ini sudah bijak mencari atau menggunakan peluang yang diperolehi.

''Nampaknya, kita terpaksa menggunakan penyerang yang ada walaupun mereka kurang pengalaman di peringkat antarabangsa,'' katanya selepas sesi latihan skuad kebangsaan di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.

Skuad pelatih kebangsaan mempunyai empat penyerang iaitu Zami Mohd. Noor dari Negeri Sembilan, G. Shanmugam (Pulau Pinang), V. Saravanan (Perak) dan S. Paidiya Rau (Kuala Lumpur).

Semua pemain itu belum pernah beraksi di posisi itu pada peringkat antarabangsa kecuali Saravanan yang pernah beraksi pada Piala Dunia Belia dua tahun lalu dan bekas pelatih Olimpik 2000.

Bagaimanapun, penarikan diri Saravanan daripada skuad akibat kecederaan yang telah disahkan oleh Abdul Rahman, menjadikan skuad negara kini hanya mempunyai tiga penyerang.

Sebelum ini, skuad negara mempunyai penyerang yang mempunyai pengalaman di peringkat antarabangsa antaranya bekas pemain Selangor, Azman Adnan, Azmi Mohamed (Negeri Sembilan), Rosdee Sulong (Johor) dan Shamsurin Abdul Rahman (Sarawak).

''Walaupun kita tiada penyerang berpengalaman, saya percaya barisan serangan yang mantap dapat dibentuk dalam tempoh lapan bulan ini sebelum Sukan SEA di Brunei pada Ogos.

''Cuma berilah masa kepada saya untuk membentuk mereka. Piala Dunhill di Vietnam saya jadikan sebagai medan terbaik untuk memperbaiki segala kelemahan bukan sahaja di posisi penyerang tetapi di semua posisi,'' ujar Abdul Rahman.

Bagaimanapun, Abdul Rahman tidak menyatakan sama ada beliau akan memanggil semula penyerang yang mempunyai pengalaman antarabangsa ke dalam skuad.

Dalam pada itu, bekas jurulatih Terengganu itu berkata, beliau menjangka skuad negara sukar untuk memperolehi keputusan yang baik di Vietnam nanti kerana pasukan pada ketika itu belum benar-benar bersedia dan hanya baru dibentuk dalam tempoh yang singkat.

''Saya katakan ini kerana saya tidak mahu peminat terlalu mengharap keputusan yang baik di Vietnam. Sebab itu saya letakkan sasaran peribadi saya pada Sukan SEA di Brunei,'' katanya.

Bagi beliau, penyertaan pasukan negara di Vietnam bukan dilihat kepada keputusan perlawanan tetapi lebih utama memperbetulkan kelemahan dan meningkatkan kekuatan pasukan.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0106&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4PhTXYCbo © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan