Jumaat, 11 November 2016

Saingan kali ini getir - Khairul

ARKIB : 05/01/1999
BINTANG pertahanan Perak, Khairul Anuar Baharom hanya berserah kepada nasib dalam menentukan peluangnya untuk sekali lagi menyarung jersi pasukan bola sepak kebangsaan, lapor JOHARI SHAWAL.

Tonggak pertahanan pasukan juara Piala Malaysia itu berkata, ini memandangkan saingan mendapatkan tempat dalam pasukan kebangsaan nampak lebih getir.

''Berbanding skuad negara yang saya sertai pada 1994 ketika temasya Sukan Asia di Hiroshima dan Sukan SEA di Chieng Mai pada 1995, saingan kali ini untuk mendapatkan tempat dalam pasukan saya kira amat sukar.

''Barisan pelatih kali ini saya lihat benar-benar berwibawa. Ada ramai pemain pertahanan yang berkaliber yang tentunya mempunyai impian serupa untuk berada dalam kesebelasan utama.

''Saya seperti pemain lain terpaksalah bekerja keras untuk merebut tempat di posisi itu,'' katanya ketika ditemui di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.

Khairul, 24, merupakan seorang pemain pertahanan kental yang membantu Perak menamatkan kemarau 28 tahun untuk merangkul Piala Malaysia, bulan lalu.

Kehebatannya mengemudi benteng Perak sepanjang tempoh aksinya dijangkakan mampu diteruskan untuk pertahanan skuad kebangsaan.

Biarpun beraksi di bahagian bawah, Khairul juga mempunyai naluri untuk menjaringkan gol dan tidak hairanlah dia kerap berada di kotak penalti lawan apabila pasukannya memperoleh sepakan sudut.

Dalam kempen liga musim lalu, Khairul menyumbang dua gol untuk Perak.

Namun musim ini, Khairul berubah angin dengan memilih Negeri Sembilan sebagai pasukan barunya dan tidak menyambung kontrak dengan Perak.

''Saya sudah mengikat kontrak dengan Negeri Sembilan bulan lalu untuk tempoh dua tahun,'' ujarnya.

Dalam skuad kebangsaan yang baru seminggu menjalani latihan, dia kini dibayangi oleh pemain Negeri Sembilan, B. Rajnikandh dan A. Ganeson, Abdul Malek Ghani (Kuala Lumpur) selain Chee Wan Hoe dari Pulau Pinang untuk merebut posisi pertahanan utama.

''Saingan untuk merebut tempat di posisi ini begitu sukar dengan adanya pemain terbaik lain seperti Rajnikandh dan Ghani. Tetapi saya akan berusaha mendapatkan tempat itu, bukan sahaja dalam pasukan tetapi dalam kesebelasan utama,'' katanya.

Khairul mula menjadi pemain profesional pada 1994 dan beraksi dengan Terengganu. Dia kemudian berhijrah ke Kedah pada musim 1995/96, dia menyumbang sekurang-kurangnya enam gol dalam perlawanan liga sebelum berhijrah ke Perak pada musim 1997/98.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0105&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4PhJiAeHA © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan