Jumaat, 11 November 2016

Yang terbaik jadi pilihan -- Pemilihan pemain tidak boleh tersilap - Rahman

ARKIB : 03/01/1999
LAZIMNYA, seseorang jurulatih bola sepak tidak menemui masalah untuk memilih pemain dalam pasukan tetapi pasti berada dalam dilema untuk menggugurkan pemain lain.

Bagi jurulatih kebangsaan, Abdul Rahman Ibrahim yang mengambil pendirian mudah untuk menggugurkan pemain dan memilih mereka yang benar-benar layak menggalas cabaran negara.

Abdul Rahman berkata, baginya dia hanya melihat kepada kesungguhan dan komitmen tinggi pemain dan mereka yang tidak serius pasti digugurkan.

''Memang bukan mudah untuk pilih sejumlah pemain untuk mewakili negara. Kita perlu teliti mereka daripada segenap segi.

''Tambahan pula saya mahu membentuk pasukan yang benar-benar mantap dan pemilihan pemain tidak boleh tersilap.

''Tetapi bagi saya, siapa yang tidak cergas atau cedera atau tidak menunjukkan komitmen kepada pasukan, merekalah yang akan digugurkan,'' kata Abdul Rahman selepas latihan skuad negara di padang Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.

''Kita ada 27 pemain dan saya perlu memilih 20 pemain ke kejohanan itu (Piala Dunhill). Bermakna tujuh pemain terpaksa saya gugurkan, itu adalah tugas paling sukar bagi mana-mana jurulatih.

''Tetapi bagi saya, menggugurkan pemain tidaklah terlalu rumit jika mengambil pendekatan begitu,'' tambah bekas jurulatih Terengganu itu.

Namun Abdul Rahman tidak menafikan beliau tetap menemui kesukaran untuk menggugurkan tujuh pemain itu kerana setiap pemain menunjukkan minat yang begitu tinggi untuk mewakili negara.

''Mereka semua bekerja keras untuk mendapatkan tempat dalam skuad kebangsaan,'' ujar Abdul Rahman yang dijangka menggugurkan tujuh pemain itu sebelum bertolak ke UAE, 9 Januari ini.

Ditanya mengenai ketua pasukan, jurulatih itu berkata semua pemain dari setiap posisi yang berlatih dalam skuad kebangsaan termasuk penjaga gol mempunyai potensi memikul tanggungjawab sebagai ''jeneral padang.''

''Semua pemain nampak begitu berminat untuk mendapatkan 'jawatan' itu.

''Semua pemain dalam skuad ini nampak berkaliber untuk memegang tugas itu tetapi saya harus teliti betul-betul sebelum membuat pemilihan,'' katanya.

Jurulatih itu berkata, perlawanan persahabatan di UAE merupakan peluang terbaik baginya untuk memilih ketua pasukan.

''Saya hanya boleh memilih ketua pasukan semasa perlawanan. Dari situlah kita dapat melihat setiap pemain mana yang boleh memikul tanggungjawab itu,'' ujarnya.

Abdul Rahman semalam mengendalikan latihan ringan, tidak seperti sebelumnya apabila pemain terpaksa menjalani latihan keras yang bertujuan mengembalikan kecergasan fizikal.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0103&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4PhHUsxbs © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan