Jumaat, 11 November 2016

Muhyiddin kurang yakin kemampuan skuad bola sepak negara

ARKIB : 02/01/1999
MENTERI Belia dan Sukan, Tan Sri Muhyiddin Yassin melahirkan rasa kurang yakin terhadap langkah-langkah terbaru Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk mewujudkan skuad bola sepak yang mantap ke kejohanan peringkat antarabangsa, lapor TUKIRAN KITAM.

''Kia harap mereka boleh tunjukkan prestasi yang lebih baik. Walaupun begitu, terus terang saya katakan, saya tidak berapa yakin,'' tegasnya selepas majlis berbuka puasa dan tahlil di surau Mohd. Yassin di Kilometer 1.6, Jalan Bakri, Muar, kelmarin.

Beliau menyatakan demikian ketika diminta mengulas persiapan terbaru FAM termasuk dalam menghadapi Sukan SEA pada 2001 di Kuala Lumpur.

Rabu lalu, jurulatih skuad bola sepak kebangsaan, Abdul Rahman Ibrahim dalam kenyataanya antara lain mahu memastikan pasukan negara mara ke separuh akhir Sukan SEA apabila Kuala Lumpur menjadi tuan rumah kejohanan itu pada tahun 2001.

''Ini kerana, soal pokoknya bukan sahaja soal bentuk latihan dan sebagainya walaupun mereka sudah dipilih, tetapi lebih daripada itu.

''Kalau kita nak lihat mutu peningkatan pasukan kebangsaan kita, mereka (FAM) kena lihat lebih luas daripada hanya mengadakan satu bentuk latihan sebagaimana yang sedia ada,'' ujar Muhyiddin.

Beliau berkata, masih banyak persoalan membabitkan FAM belum terlerai termasuk dari segi struktur, kebajikan, ikatan kontrak, pendedahan pemain, cara pemain dipilih, serta masalah dalaman pasukan-pasukan bola sepak negeri.

FAM katanya, patut menitikberatkan usaha meningkatkan skuad kebangsaan dari segi jangka panjang, selain mengemaskini jadual pertandingan liga kebangsaan agar tiada pertindihan dengan kejohanan peringkat serantau atau antarabangsa.

''Ini ada implikasinya dalam soal melahirkan skuad kebangsaan. Saya sebut ini berdasarkan fakta bahawa kalau tidak ada rombakan yang besar-besaran dari segi struktur bola sepak negeri-negeri, saya ramalkan sukar bagi kita memperbaiki mutu permainan skuad kebangsaan kita, '' tambah beliau.

Begitupun, beliau berharap, FAM harus mencuba pasukan yang sedia ada dan menjadikannya sebagai skuad terbaik kerana Malaysia akan berhadapan dengan pasukan-pasukan yang rangkingnya' lebih tinggi pada Sukan SEA nanti.

Tambahnya, kontrak pemain kebangsaan dengan negeri yang diwakili juga menimbulkan masalah dan memerlukan perhatian serius FAM.

''Antara kebangsaan dan negeri, majikan pemain masih lagi negeri yang diwakili, tetapi bermain untuk kebangsaan. Jadi ada soal-soal struktur yang perlu dilihat semula.

''Misalnya, kalau mereka terpilih mewakili negara, apakah mereka boleh dilepaskan kontraknya dengan negeri dan kemudian mengikat kontrak baru, adakan satu perjanjian antara FAM dengan negeri yang lebih sesuai. Saya lihat ini perlu satu penelitian yang lebih mendalam,'' ujarnya.

Menurut beliau, sekarang ini tumpuan lebih banyak kepada pasukan-pasukan negeri yang menghadapi liga kebangsaan daripada memberi penekanan pasukan kebangsaan.

''Justeru kita perlu melihat perkara ini bukan sekadar pilih, latih dan mengharapkan sesuatu daripada pemain yang terpilih,'' tambahnya lagi

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0102&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4PhGFHvsa © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan