ARKIB : 01/01/1999
Kecergasan agenda utama Abd.
Rahman
SEBAHAGIAN pemain bola sepak
kebangsaan menikmati juadah berbuka puasa di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam
selepas sesi latihan menjelang Piala Dunhill, hujung bulan ini. - Gambar SAIFUL
BAHARI ASHARI.
KECERGASAN pemain menjadi
agenda utama jurulatih bola sepak kebangsaan, Abdul Rahman Ibrahim dalam tempoh
seminggu ini sebelum pasukan negara berangkat ke Dubai, Amiriah Arab Bersatu
(UAE) untuk perlawanan persahabatan di sana pertengahan bulan ini.
Katanya, memandangkan tahap
fizikal pemain belum lagi terserlah sejak skuad itu menjalani latihan pertama
Isnin lalu, semua pemain harus melalui ujian itu secepat mungkin.
''Sebab itulah hari ini dan
dalam tempoh seminggu latihan di sini, saya tumpukan kepada latihan keras.
''Walaupun bulan Ramadan, saya
terpaksa membentuk fizikal pemain dengan cepat kerana pemain harus
mengembalikan kecergasan selepas lama berehat,'' kata Abdul Rahman selepas sesi
latihan skuad kebangsaan di padang Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.
Jurulatih itu juga memberitahu,
buat masa ini belum ada dalam fikirannya untuk membentuk satu pasukan sebelum
pemain melalui ujian kecergasan.
Begitupun Abdul Rahman berkata,
tujuh daripada 27 pemain dalam skuad akan digugurkan sebelum skuad negara
bertolak ke UAE.
Skuad negara akan berlepas ke
Dubai pada 9 Januari ini untuk mengadakan tiga perlawanan persahabatan sehingga
15 Januari.
''Kita sebenarnya terpaksa
bertindak secepat mungkin termasuk membentuk pasukan yang benar-benar mantap
kerana saya telah tetapkan Ogos ini (Sukan SEA Brunei) sebagai ujian pertama
saya.
''Tempoh lapan bulan saya rasa
begitu singkat tetapi saya mahu membentuk pasukan kebangsaan yang benar-benar
baik dalam tempoh itu,'' ujarnya.
Mengenai Piala Dunhill di
Vietnam hujung bulan ini, Abdul Rahman berkata beliau belum tahu kekuatan semua
pasukan dalam kumpulan Malaysia.
''Saya tidak tahu sekuat mana
pasukan lawan tetapi kita kena tanam keyakinan skuad kita mampu berbuat sesuatu
pada kejohanan itu,'' katanya.
Piala Dunhill dibahagikan
kepada dua kumpulan dengan Malaysia berada dalam Kumpulan B bersama Singapura,
Korea Selatan dan Rusia.
Skuad negara akan menentang
juara Piala Tiger tahun lalu, Singapura pada perlawanan pertama pada 30 Januari
sebelum berdepan dengan skuad Olimpik Korea Selatan pada 1 Februari dan Rusia
dua hari selepas itu.
Ditanya mengenai kemungkinan
skuad negara akan mengadakan sebarang perlawanan persahabatan dengan pasukan
atau kelab dalam negara sebelum ke Dubai, Abdul Rahman berkata perkara itu
belum pasti.
''Tetapi saya akan cuba aturkan
beberapa perlawanan kerana ia juga perlu sebagai persiapan kita untuk kejohanan
di Vietnam mahu pun persahabatan di Dubai,'' katanya.
Semua pemain hadir pada sesi
latihan semalam kecuali pemain Sabah, Yap Wai Loon yang terpaksa bersama
keluarganya ketika ini kerana bapanya meninggal dunia, kelmarin.
Oleh: JOHARI SHAWAL
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0101&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4PhDnJmU5
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan