Jumaat, 11 November 2016

Peluang baik untuk Azmin

ARKIB : 31/12/1998
TIGA penjaga gol kebangsaan, Azmin Azram Aziz bersama Abdul Hadi Tahir (belakang) dan Zuraimi Hassan berlatih di bawah kendalian jurulatih Lim Chuan Chin (kanan) pada sesi latihan di padang Wisma FAM, Kelana Jaya, kelmarin. - Gambar ZULKARNAIN MOHD. SAIDIN.

PELATIH skuad bola sepak kebangsaan, Azmin Azram Abdul Aziz berkata, inilah peluang terbaik baginya untuk menyarung jersi nombor satu negara selepas beberapa kali hanya memanaskan bangku simpanan atau tidak disenaraikan langsung dalam pasukan kebangsaan, lapor JOHARI SHAWAL.

Bekas penjaga gol Kuala Lumpur itu berkata, ketiadaan Khairul Azman Mohamed dan Mudzar Mohamad dalam skuad kebangsaan memberi ruang terbaik baginya untuk merampas gelaran penjaga gawang nombor satu negara.

''Mungkin ini rezeki saya kerana skuad kali ini tanpa Khairul ataupun Mudzar. Memang sudah lama saya tunggu peluang ini. Kini saya mahu berlatih bersungguh-sungguh untuk mendapatkan tempat sebagai penjaga gol utama negara.

''Tetapi sebenarnya ia terpulang kepada jurulatih (Abd. Rahman Ibrahim). Saya juga ada saingan di sini sebab ada dua lagi penjaga gol yang baik. Saya kena berusaha keras untuk merebut tempat itu,'' katanya.

Azmin, 22, yang telah pun mengikat kontrak dengan skuad Negeri Sembilan minggu lepas untuk kempen Liga Malaysia musim depan, merupakan antara tiga penjaga gol yang dipilih Abdul Rahman menjalani latihan pemilihan peringkat kedua skuad kebangsaan yang baru dibentuk.

Dua lagi penjaga gol ialah pemain Selangor, Abdul Hadi Tahir dan Zuraimi Hassan dari Pahang.

Azmin ''lebih serasi'' dengan pasukan kebangsaan kerana dia telah beberapa kali dipanggil menjalani latihan pemilihan sejak 1995 termasuk pemilihan untuk pra-Piala Dunia, dua tahun lalu.

Selain itu, dia juga menjadi pelatih untuk skuad Piala Tiger pada 1997 tetapi digugurkan selepas pemilihan terakhir pasukan yang dibawah bimbingan jurulatih Wan Jamak Wan Hassan.

Penjaga gol terbaik negara, Khairul yang beraksi untuk Sabah dalam Liga Perdana musim ini dan Mudzar yang mewakili Pahang sering mendapat tempat.

Begitupun, Sukan SEA di Jakarta tahun lepas memberi semangat kepadanya apabila dipilih mewakili negara biarpun hanya diletakkan di bangku simpanan.

''Jika saya diberi tugas utama menjaga gawang negara, saya akan pamerkan permainan terbaik saya,'' katanya.

Azmin telah diberi tugas sebagai penjaga gol utama Malaysia ketika Piala Tiger di Vietnam tahun ini, tetapi dia cuma dijemput untuk memperkukuhkan Skuad Olimpik 2000 pada kejohanan itu.

Azmin mula diberi tugas sebagai penjaga gol utama Kuala Lumpur pada 1996 di bawah kendalian Chow Kwai Lam.

Dalam perlawanan liga musim ini, Kuala Lumpur yang kerap menurunkan Azmin sebagai benteng terakhir, memboloskan 35 gol daripada 22 perlawanan dan 11 gol dalam Piala Malaysia.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1231&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4PhAwnaum © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan