Jumaat, 11 November 2016

Pendedahan awal di UAE - Rahman

ARKIB : 29/12/1998
PENJAGA gol Selangor, Abdul Hadi Tahir (kiri) dan rakan sepasukannya, Shamsul Amri Abu Bakar antara 27 pemain yang melapor diri untuk skuad baru bola sepak kebangsaan di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam. - Gambar MOHD. SAZALI CHE DIN.

SKUAD bola sepak kebangsaan bakal mengharungi beberapa siri perlawanan persahabatan dengan pasukan luar negara bagi mencari kesesuaian antara pemain selain mengenal pasti kelemahan dan kekuatan pasukan baru itu.

Jurulatih negara, Abdul Rahman Ibrahim berkata, perlawanan persahabatan itu juga adalah sebagai persiapan untuk menghadapi tugas pertama mereka, Kejohanan Piala Dunhill di Vietnam, Februari ini.

Katanya, perlawanan persahabatan itu sekali gus dapat memberikan gambaran awal kepadanya tentang kekuatan atau kelemahan pasukan yang bakal dikendalikannya.

''Kita akan mengadakan perlawanan persahabatan di UAE (Emiriyah Arab Bersatu) pada awal bulan depan.

''Walaupun pendedahan itu belum memadai untuk membentuk pasukan yang mantap, namun ia sekurang-kurangnya mampu memberi ruang untuk merangka kombinasi yang baik,'' katanya di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.

Semua 27 pemain yang dipilih Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) melapor diri untuk latihan pemilihan Fasa 11 di Wisma FAM, semalam. Skuad kebangsaan kali ini adalah gabungan pemain lama dan baru dan ada di antaranya muka lama yang mewakili negara sebelum pasukan itu dibubarkan ekoran persembahan buruk pada Sukan SEA Jakarta, tahun lalu.

Antaranya pemain Selangor, K. Sanbagamaran, Faizal Zainal, B. Rajinikandh, Zami Mohd. Noor (Negeri Sembilan), Idris Karim (Johor), Mohd. Nazri Yunos (Sarawak) dan Yap Wai Loon (Sabah).

Skuad kali ini juga menyaksikan FAM mengetepikan penjaga gol terbaik negara, Khairul Azman Mohammad dan penyerang Azman Adnan.

Pasukan kebangsaan dijangka berlepas ke Dubai, UAE minggu depan dan akan beraksi sekurang-kurangnya tiga perlawanan persahabatan di sana.

Piala Dunhill yang bermula 1 hingga 14 Februari ini merupakan kejohanan sulung buat skuad baru itu. Perlawanan persahabatan di UAE juga dijadikan tempat untuk memilih pemain ke kejohanan itu.

Abdul Rahman berkata, beliau tidak meletakkan harapan tinggi kepada skuad kebangsaan untuk mempamerkan kemantapan di Dubai kerana para pemain memerlukan masa untuk mencari keserasian antara satu sama lain.

''Saya hanya berharap pada peringkat awal ini, pemain memiliki semangat serta disiplin yang tinggi untuk mengembalikan kegemilangan bola sepak negara.

''Kita baru hendak bermula, jadi kita perlu sokongan daripada peminat dan juga media massa. Kalau saya mempunyai semangat untuk kembalikan maruah bola sepak negara, para pemain juga harus mempunyai semangat yang sama,'' kata jurulatih yang membawa Terengganu muncul naib juara Piala Malaysia, bulan ini.

Abdul Rahman juga memberitahu, para pemain turut akan didedahkan dengan beberapa perlawanan persahabatan di dalam negara.

''Latihan pasukan akan terus berjalan walaupun sekarang bulan Ramadan. Cuma latihan yang diberikan terutama kepada pemain yang beragama Islam bergantung kepada kemampuan mereka,'' ujarnya.

Oleh: JOHARI SHAWAL

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1229&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4Ph8su4eG © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan