Jumaat, 11 November 2016

Abdul Rahman, Raja Ahmad penentu arah tuju skuad bola sepak

ARKIB : 28/12/1998
MAMPUKAH kombinasi Abdul Rahman Ibrahim dan Datuk Raja Ahmad Zainuddin mengembalikan kegemilangan bola sepak negara?

Kedua-duanya memang bukan orang baru dalam sukan bola sepak, malah memiliki pengalaman yang cukup meluas baik dari segi pentadbiran mahupun kejurulatihan.

Abdul Rahman, sebelum ini jurulatih Terengganu yang telah menerajui pasukan pantai timur itu ke perlawanan akhir Piala Malaysia baru-baru ini sementara Raja Ahmad ialah pengurus pasukan Perak yang menjuarai piala berkenaan.

Kini, mereka adalah tonggak utama skuad kebangsaan _ Raja Ahmad sebagai pengurus pasukan dan Abdul Rahman pula jurulatih baru skuad berkenaan mengambil alih tugas bekas jurulatih kebangsaan Wan Jamak Wan Hassan.

Apakah kepakaran yang ada pada mereka mampu mengembalikan kegemilangan sukan bola sepak negara seperti yang pernah dilalui sebelum ini terutama pada tahun 50-an hingga ke awal 80-an?

Sememangnya ia bukanlah tugas yang mudah lebih-lebih lagi dengan keadaan yang menyelubungi bola sepak negara akhir-akhir ini.

Walaupun mempunyai ramai pemain yang boleh diketengahkan untuk mewakili negara tetapi tahap mereka masih jauh jika dibandingkan dengan pemain negara-negara lain di rantau Asia ini.

Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa pemain yang ada sekadar layak untuk mewakili negeri masing-masing dalam pertandingan Liga Perdana memandangkan semangat mereka lebih tertumpu kepada skuad negeri daripada skuad negara.

Pemain negara seharusnya memiliki rasa cemburu kepada gergasi Asia masa kini seperti Korea Selatan, Iran, Jepun China mahupun Thailand yang kini semakin membuktikan peningkatan.

Pasukan-pasukan ini pada suatu ketika dulu adalah pasukan balasahan skuad negara tetapi keadaan sudah berubah kini apabila giliran skuad kebangsaan Malaysia pula megalaminya.

Walaupun hakikat ini sudah disedari agak lama tetapi tiada sebarang perubahan berlaku kepada skuad kebangsaan walaupun Liga Perdana yang diperkenalkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dianggap sebagai yang terbaik di Asia selepas Liga J di Jepun.

Di manakah silapnya _ dan inilah perkara pokok yang harus diatasi oleh Abdul Rahman dan Raja Ahmad terlebih dahulu sebelum menentukan arah tuju skuad kebangsaan yang baru ini.

Raja Ahmad yang kini melepaskan jawatannya sebagai pengurus pasukan Liga Perdana Perak baru-baru ini telah meletakkan sasaran tiga tahun untuk mencapai matlamatnya dengan skuad kebangsaan.

''Saya meletakkan sasaran tiga tahun untuk skuad baru ini membuktikan keupayaan sebenar,'' katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Untuk mencapai objektif tiga tahun itu skuad baru ini akan cuba didedahkan dalam beberapa perlawanan ujian baik dalam mahupun di luar negara, tambahnya.

Persoalan kini ialah adakah tempoh tiga tahun itu mencukupi untuk membentuk skuad kebangsaan yang mantap sedangkan sebelum ini tempoh 10 tahun pun tiada sebarang hasil dicapai.

Tugas utama yang harus dilakukan oleh Raja Ahmad dan Abdul Rahman ialah membentuk sikap pemain agar memiliki semangat serta disiplin yang tinggi dan seterusnya membentuk mereka sebagai pemain negara yang berkualiti dan boleh dipercayai.

Hari ini, 25 pemain yang telah mendapat tempat dalam peringkat kedua latihan pusat itu akan melapor diri di Wisma FAM untuk meneruskan latihan sebelum memulakan beberapa siri perlawanan persahabatan di luar negara. - Bernama

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1228&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4Ph7VB9q3 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan