Jumaat, 11 November 2016

Peluang terakhir buat Hatem

ARKIB : 27/12/1998
CABARAN getir kini menanti ketua jurulatih skuad Olimpik 2000 Hatem Souissi bagi merealitikan impian yang diamanatkan mengharungi pusingan kelayakan Olimpik bermula 14 Jun tahun depan.

Tiada lagi alasan yang harus diluahkan oleh Hatem jika sekirannya skuad kendaliannya gagal dalam mengharungi ranjau di pusingan kelayakan ke temasya di Sydney nanti.

Selepas kecaman silih berganti yang hadir ekoran prestasi buruk skuad Olimpik sepanjang tahun ini seharusnya menyedarkan Hatem kancah saingan sebenarnya.

Amaran buat Hatem dan pembantunya sewajarnya tepat ketika pasukan yang dibentuk semakin melupakan tujuan asal penubuhan skuad ini untuk mengulangi pencapaian 1972 dan 1980 layak ke Sukan Olimpik 2000 sebagai bukti kesinambungan barisan skuad Piala Belia Dunia yang dilaburkan berjuta ringgit.

Sepuluh pemain sudah didedahkan beraksi dengan kelab terkemuka di England dan ini seharusnya menyuntik semangat membara skuad Olimpik 2000 tahun depan.

Agak mengejutkan prestasi buruk pemain muda negara selepas kecemerlangan yang ditunjukkan pada Kejohanan Piala Belia Dunia tahun lalu.

Tumpas dengan kekalahan teruk ketika pintu gol dibolosi 18 gol dalam tiga aksi persahabatan menentang Thailand mencetuskan kesangsian skuad yang dibentuk sejak 1995 tampak longgar.

Anak buah Hatem teruk di belasah 0-9, 1-5 dan 2-4.

Rentetan itu berterusan dengan kegagalan di Kejohanan Piala Kemerdekaan Sri Lanka apabila tewas semua perlawanan kepada India (0-3), Sri Lanka (1-2) dan Maldives (1-2) menjurus kepada kecaman lebih hebat.

Kekalahan itu turut dikaitkan dengan bantahan pemain yang dipendam sejak sekian lamanya ekoran layanan buruk Hatem ke atas pemain.

Situasi dalaman memaksa majlis mesyuarat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang dipengerusikan oleh Sultan Ahmad Shah mengambil keputusan melucutkan jawatan Hatem daripada mengendalikan skuad itu.

Malah pengurus pasukan, Tan Sri Elyas Omar turut dipecat tetapi digantikan Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Begitupun nasib Hatem kembali berubah apabila dia mendapat kepercayaan semula mengendali skuad Olimpik ketika tempoh cabaran hanya tinggal enam bulan bakal berlangsung.

Peluang kedua yang hadir buat Hatem seharusnya mampu mengembalikan semula semangat dan kekuatan kepada pemain negara yang menghadapi tugas berat pada pusingan kelayakan nanti.

Saingan pusingan kelayakan akan bermula dengan Hong Kong menjadi tuan rumah pusingan pertama pada 14 Jun.

Jepun pasukan pilihan yang akan mengungguli saingan pusingan kedua menjadi tuan rumah pada 26 Jun hingga 3 Julai.

Skuad Olimpik 2000 akan membuka kempen pada 14 Jun menentang skuad pilihan Jepun dituruti Hong Kong tiga kemudiannya sebelum bertemu Nepal pada 20 Jun.

Pusingan kedua pula anak buah Hatem akan menentang Hong Kong pada 26 Jun, Nepal pada 30 Jun dan tiga hari kemudian menentang Jepun.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1227&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4Ph69DDQt © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan