Jumaat, 11 November 2016

Sukan paling merosot

ARKIB : 25/12/1998
SEKADAR mengingati kejayaan Perak menjulang Piala Malaysia selepas penantian selama 28 tahun, bola sepak negara sepi bagaikan tidak bermaya sepanjang tahun 1998.

Perak menewaskan Terengganu 5-3 menerusi sepakan penalti di Stadium Nasional Bukit Jalil 12 Disember lalu dengan rekod kehadiran 100,000 penonton yang menjadi kemuncak aktiviti sukan ini pada 1998.

Selain itu, tidak ada cerita menarik yang mampu dikenang malah ramai beranggapan bahawa tahun ini hanya merupakan detik muram bagi bola sepak yang merupakan sukan nombor satu negara.

Kegagalan demi kegagalan terus menenggelamkan nama negara di peta antarabangsa. Malaysia, yang satu ketika digeruni dirantau ini nyata bukan lagi pasukan hebat.

Atas sebab itulah pasukan kebangsaan dianggap tidak cukup baik untuk menyertai Sukan Asia XIII di Bangkok, yang berakhir baru-baru ini.

Antara kejuaraan yang disertai oleh pasukan negara sepanjang tahun ini ialah kejohanan Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) merebut Piala Tiger di Vietnam pada bulan Ogos lalu.

Pada kejohanan yang dimenangi oleh Singapura itu, Malaysia gagal memenangi sebarang perlawanan, tewas 0-2 kepada Singapura, seri 0-0 dengan Laos sebelum tewas 0-1 kepada Vietnam.

Pasukan pelapis, Skuad Olimpik 2000 yang diharap dapat mengambil alih sebagai pasukan utama, tewas kepada India, Sri Lanka dan Maldives pada Kejohanan Freedom Cup di Colombo pada November.

Kegagalan itu memaksa penyingkiran pengurus pasukan, Tan Sri Elyas Omar daripada kerusi panas itu dan tempatnya diganti oleh Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Pada masa yang sama, FAM juga mengumumkan perubahan drastik dalam peraturan Liga Perdana dengan mengambil tindakan melarang pengambilan pemain asing mulai musim depan.

Malah FAM menjadikan ia sebagai alasan untuk berjimat. Keputusan itu disambut berbelah bahagi oleh sesetengah persatuan negeri.

Malaysia memperkenalkan liga profesional pada 1989 namun matlamat untuk menyaksikan kelahiran sebuah pasukan kebangsaan yang digeruni nampaknya masih jauh daripada kenyataan.

Pada Disember 1997, Malaysia diletak oleh FIFA pada tangga ke 87 ranking dunia, tetapi setahun kemudian ia merosot ke tangga ke 110.

FAM juga menggantikan jurulatih kebangsaan Wan Jamak Wan Hassan dengan jurulatih Terengganu Abdul Rahman Ibrahim. Tugas pertama Abdul Rahman ialah menyiapkan pasukan untuk Piala Dunhill di Vietnam akhir Januari 1999.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1225&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4Ph0uSJlC © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan