ARKIB : 22/12/1998
SEPULUH pemain terpaksa
diketepikan meninggalkan 25 pelatih skuad bola sepak kebangsaan akan meneruskan
latihan fasa kedua bermula Isnin depan, lapor AMRAN MULUP.
Menurut jurulatih kebangsaan,
Abdul Rahman Ibrahim sepuluh pemain itu bukan digugurkan terus sebaliknya
diketepikan buat sementara waktu.
''Mereka akan dipanggil semula
jika sekirannya daripada senarai 25 pemain ini gagal menyerlah pada latihan
fasa kedua nanti ataupun ada yang ditimpa kecederaan serius,'' kata Rahman
ketika dihubungi semalam.
Katanya, latihan fasa kedua
bermula 28 Disember hingga 17 Januari akan bermula langkah awal pembentukan
asas pasukan bola sepak kebangsaan.
''Ini adalah langkah awal saya
membentuk pasukan dengan senarai yang diperkecilkan kepada 25 pemain mereka ini
juga akan ditapis untuk mencari kesebelasan utama,'' jelasnya.
Bagi tujuan itu Rahman sudah
mengatur latihan selama seminggu di Dubai, Amiriyah Arab Bersatu (UAE) dengan
tiga perlawanan persahabatan yang diatur bagi mengenal pasti skuad asas yang
turut akan membawa cabaran di Kejohanan Piala Dunhill Februari depan.
Katanya, hanya 18 pelatih
kebangsaan akan dipilih mengikuti mengikuti latihan di Dubai, turut mengharungi
tiga perlawanan persahabatan dengan tiga kelab tempatan 8 Januari ini.
''Tiga perlawanan ini amat
penting untuk saya mengenal pasti ciri-ciri pemain yang benar-benar seratus
peratus bersedia untuk beraksi dengan skuad kebangsaan.
''Ini sebenarnya ujian penting
buat pemain dan buat saya ia sebagai satu permulaan pembentukan asas pasukan
bola sepak kebangsaan yang baru,'' kata Rahman lagi.
Jelasnya, setiap pemain akan
dinilai dari aspek ketahanan mental, fizikal, komitmen dan semangat perjuangan
tinggi bagi mengenal pasti skuad sepenuhnya.
''Jika ada yang gagal memenuhi
kriteria itu, mereka terpaksa diketepikan buat sementara dan pemain yang
diketepikan sebelum ini akan dipanggil balik,'' katanya.
Daripada perlawanan di UAE,
skuad terakhir akan diumumkan untuk menggalas tugas pertama menghadapi
kejohanan Piala Dunhill di Ho Chi Minh, Vietnam dari 29 Januari hingga 7
Februari depan.
Antara negara yang mengambil
bahagian selain tuan rumah Vietnam ialah China, Singapura, Myanmar, Korea
Selatan, Russia dan Poland.
Latihan fasa pertama
menghadirkan 39 pemain yang disenaraikan namun hanya 35 pemain mengikuti sesi
latihan di Kompleks Sukan Bukit Jalil.
Tiga pemain terpaksa
diketepikan akibat kecederaan serius. Mereka ialah Cik Zambil Ahmad, Azmi
Mohamad dan Azizul Kamaluddin.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1222&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4PgtMY2VV
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan