Khamis, 10 November 2016

Irfan harap tak digugur saat akhir

Oleh Syafiq Aznan syafiq.aznan@bh.com.my
 
Irfan Fazail (tengah) bersama skuad Harimau Malaysia menjalani latihan di Wisma FAM Kelana Jaya bagi persiapan untuk kejohanan bola sepak AFF Piala Suzuki 2016 di Myanmar. - Foto Osman Adnan KELANA JAYA:

Pemain tengah kebangsaan, Irfan Fazail tidak rela andai dia digugurkan pada saat akhir daripada skuad Harimau Malaysia yang bakal bersaing di Piala AFF Suzuki 2016 di Yangon, Myanmar, 16 November ini.

Malah, dia turut sedar betapa aksi persahabatan terakhir bertemu Papua New Guinea bakal menjadi medan terakhir untuk membuktikan kemampuannya bagi menempatkan diri dalam barisan 23 pemain pengendali skuad Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swee. "Bertemu Papua New Guinea adalah satu ujian buat kita dan ini adalah perlawanan terakhir sebelum kita berdepan cabaran sebenar pada aksi Piala AFF Suzuki 2016 nanti.

 "Saya berharap dapat membuktikan sesuatu kepada pasukan dan jika diberi peluang untuk beraksi, saya bersedia memberikan yang terbaik pada perlawanan terbabit," katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), di sini.

 Dalam masa sama, pemain tengah Johor Darul Ta'zim (JDT) itu mengakui mereka amat memerlukan kemenangan ke atas Papua New Guinea untuk dijadikan motivasi tambahan menjelang saingan di Yangon itu.

"Dengan persiapan selama dua minggu dan persefahaman yang lebih baik bersama rakan sepasukan, saya optimis kita mampu melakar keputusan positif ke atas Papua New Guinea," katanya. Pada Jelajah Oceania Jun lalu, skuad negara diaibkan Papua New Guinea 2-0 dalam aksi persahabatan di Port Moresby yang menyaksikan Tommy Semmy meledak dua gol pada minit ke-35 dan 42. Itu adalah kemenangan pertama mereka ke atas Malaysia dalam tiga pertemuan selepas Malaysia membelasah mereka 10-1 pada 1976 dan 5-1 pada 1984.

Sumber-Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/211380

Tiada ulasan:

Catat Ulasan