Khamis, 10 November 2016

Status pemain senior bukan jaminan - Kim Swee

KHAMIS, 10 NOVEMBER 2016 @ 8:18 PM
Oleh Syafiq Aznan syafiq.aznan@bh.com.my
 
Ketua jurulatih, Datuk Ong Kim Swee (dua dari kiri) memberi arahan kepada para pemain skuad Harimau Malaysia menjalani latihan di Wisma FAM Kelana Jaya bagi persiapan untuk kejohanan bola sepak AFF Piala Suzuki 2016 di Myanmar. - Foto Osman Adnan KELANA JAYA:

      Status selaku pemain senior yang ternama dan berpengalaman tidak menjadi jaminan buat mereka membarisi skuad kebangsaan ke saingan Piala AFF Suzuki 2016 yang bermula di Yangon, Myanmar, 16 November ini. Itu amaran daripada pengendali skuad Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swee yang menegaskan prestasi semasa setiap pemain adalah faktor utama dan menjadi penentu dalam memastikan mereka turut 'terbang' ke Yangon bagi aksi 'Piala Dunia' Asia Tenggara itu.

       "Pemilihan pemain bagi skuad Piala Suzuki AFF 2016 adalah berdasarkan prestasi semasa dan persembahan mereka pada aksi persahabatan menentang Papua New Guinea, Isnin ini. "Malah, saya akan membuat penilaian secara teliti berhubung prestasi mereka sepanjang dua minggu di latihan pusat sebelum membuat keputusan muktamad," katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), di sini.

Dalam perkembangan lain, Kim Swee mengesahkan dia bakal menurunkan barisan kesebelasan utama yang terbaik bagi aksi menentang Papua New Guinea di laman sendiri itu. "Saya akan bermula dengan 11 pemain yang terbaik sebelum enam lagi pemain akan turut diuji pada perlawanan terbabit bagi menentukan pemain yang bakal diturunkan pada perlawanan menentang Kemboja nanti.

"Jadi, saya dapat menurunkan 17 daripada 25 pemain sedia ada tetapi tidak bermakna mereka yang tidak dapat beraksi menentang Papua New Guinea akan terus digugurkan daripada skuad ke Yangon," katanya.

Bagaimanapun, dua pemain perlu digugurkan selepas aksi menentang Papua New Guinea memandangkan hanya 23 pemain sahaja yang boleh dibawa ke saingan Piala Suzuki AFF 2016. Buat masa ini, hanya seorang sahaja pemain iaitu pemain tengah Perak, Nasir Basharudddin yang digugurkan selepas masih dibelenggu masalah kecederaan pangkal paha.

Sumber-Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/211392

Tiada ulasan:

Catat Ulasan