Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
KIM SWEE (dua dari kiri) akan
menilai prestasi keseluruhan pemain pada aksi menentang Papua New Guinea
sebelum menggugurkan tiga nama.
JURULATIH Harimau Malaysia,
Datuk Ong Kim Swee mendedahkan, pertemuan menentang Papua New Guinea (PNG)
bakal menjadi medan terakhir buat beliau untuk menilai prestasi barisan pemain
sebelum mengumumkan senarai 23 pelatih berlepas ke kejohanan Piala AFF Suzuki
2016 di Yangon, Myanmar pada 16 November ini.
Kim Swee juga menyifatkan
beliau tidak akan teragak-agak untuk menggugurkan pemain-pemain bernama besar
jika mereka gagal menepati jangkaan ketika menentang PNG di Stadium Shah Alam,
Isnin ini.
Katanya, beliau mahu
menggugurkan dua lagi pemain selepas Nasir Basharuddin telah pasti digugurkan
daripada skuad Piala AFF Suzuki 2016 kerana pemain tengah Perak itu ditimpa
kecederaan.
“Ini terpulang kepada prestasi
mereka (dalam) pada perlawanan menentang PNG dan selepas mengharungi latihan
bersama kita selama dua minggu.
“Saya akan menilai prestasi
mereka ketika melawan PNG dan keseluruhan ketika mereka bersama dengan pasukan
kebangsaan. Hanya dua pemain akan digugurkan. Nasir sudah pasti tidak dapat
bersama skuad kebangsaan berdasarkan laporan doktor. Selainnya akan bersama
kita ke Yangon nanti.
“Kemungkinan kesebelasan
terbaik akan diturunkan (bertemu PNG) dan pada masa sama, saya boleh menukar
enam pemain. Dari situ, saya akan lihat lagi siapa yang terbaik dalam kalangan
13 pemain untuk diturunkan ketika menentang Kemboja (dalam aksi pembukaan
Kumpulan B Piala AFF Suzuki pada 20 November).
“Maksimum pemain yang boleh
saya senaraikan adalah 17 orang tetapi saya boleh membawa 23 pemain. Ia
bermakna saya memiliki enam lagi pemain yang tidak beraksi. Ia tidak bermakna
mereka tiada dalam skuad tetapi kita tunggu apa yang akan berlaku ketika
menentang PNG nanti,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Wisma FAM,
Kelana Jaya semalam.
Dalam perkembangan lain, Kim
Swee tidak mahu cepat melatah di sebalik cuaca hujan sepanjang menjalani sesi
latihan biarpun matlamat asal bekas pengendali Harimau Muda A itu mahu berlatih
pada pukul 3 petang bagi menyesuaikan diri dengan suasana kejohanan.
Apa yang pasti, Kim Swee tidak
akan mengubah jadual sesi latihan itu biarpun skuad kendaliannya menjalani
latihan bukan dalam cuaca panas seperti yang diramalkan.
“Cuaca ‘menyebelahi’ kita.
Boleh dikatakan tujuan utama memanglah untuk berlatih mengikut suasana tetapi
sepanjang empat hari kita berlatih, cuaca amat baik.
“Apa yang penting para pemain
terpaksa mengharungi waktu yang sama yang mana waktu pemakanan mereka awal pagi
sehingga tengah hari mengikut apa yang perlu kita lakukan.
“Jadi, walaupun cuaca yang amat
redup tetapi perjalanan seharian itu semakin baik. Buat masa ini belum ada lagi
perubahan. Kita lihat dalam masa dua tiga hari lagi bagaimana cuaca selepas
ini,” ujarnya.
Sumber-Artikel Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=1111&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4PflyUEnG
Hakcipta terpelihara
Tiada ulasan:
Catat Ulasan