Khamis, 10 November 2016

'Cuba fokus peringkat kumpulan dulu...

' 
Kuala Lumpur: Bekas penyerang kebangsaan Indra Putra Mahayuddin (gambar) tetap percaya skuad Harimau Malaysia masih mampu mencabar dalam saingan Piala AFF 2016 di Yangon, Myanmar meskipun prestasi mereka terumbang-ambing kebelakangan ini.

Berdasarkan edisi sebelum ini, skuad kebangsaan di belenggu dengan keputusan buruk dalam aksi persahabatan namun bangkit untuk mengejutkan pasukan lawan ketika muncul juara 2010 dan naib juara 2014.

Indra, 35, yang membantu skuad kebangsaan melakar kejutan dua tahun lalu berharap semua pemain bersedia dari segala aspek.


“Piala AFF pentas terbesar skuad kebangsaan jadi semua pemain perlu menyiapkan diri masing-masing untuk berdepan cabaran yang bakal dilalui.

“Pada saya mereka boleh lakukan cuma mereka perlu tumpukan dulu sepenuh perhatian dalam saingan peringkat kumpulan kerana setiap mata penting dalam memastikan kita layak ke pusingan seterusnya,” katanya kepada Arena Metro semalam.

Kali ini, jurulatih kebangsaan Datuk Ong Kim Swee menggabungkan ramai muka baru dan memanggil semula pemain yang sudah lama tidak beraksi di pentas antarabangsa.

Ini susulan persaraan tonggak utama seperti kapten Safiq Rahim, Aidil Zafuan Abd Radzak, S Kunanlan, Shukor Adan dan masalah kecederaan serta kemerosotan prestasi pemain utama.

Sumber-Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 November 2016 @ 11:32 AM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan