Khamis, 10 November 2016

Abdul Rahman cuba pupuk semangat baru

ARKIB : 06/12/1998
ASPIRASI baru akan diterapkan oleh jurulatih kebangsaan Abdul Rahman Ibrahim apabila memulakan tugas pertamanya membentuk kembali skuad bola sepak negara yang dibubarkan setahun yang lalu, lapor AMRAN MULUP.

Biarpun sibuk membuat persiapan rapi pasukan Penyu menghadapi perlawanan akhir Piala Malaysia bertemu Perak 12 Disember ini, Rahman tetap hadir ketika 33 pemain daripada 39 yang disenaraikan melapor diri di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Belum pun latihan bermula Rahman bersama pembantunya Norizan Bakar dan Lim Chuan Chin terpaksa akur menggugurkan dua pemain, penyerang Kedah, Cik Zambil Ahmad dan penyerang Johor, Azmi Mohamad ekoran kecederaan serius.

Belum pun lega, ayam tambatan Pahang, Azizul Kamaluddin turut mahu dirinya diketepikan daripada mengikuti pemilihan pemain ke skuad kebangsaan.

Dengan sepucuk surat daripada Persatuan Bola Sepak Pahang (PBNP) mengesahkan pemain itu ditimpa kecederaan, Rahman seakan akur Azizul menjadi pemain ketiga bakal diketepikan.

''Pemain yang dipanggil mengikuti sesi pemilihan setelah dikenal pasti sepanjang tempoh dua bulan pemerhatian dibuat. Hasilnya saya dapat mengumpul 39 pemain.

''Dua pemain Zambil dan Azmi terpaksa saya ketepikan akibat kecederaan dan Azizul pula bakal menyusul namun Isnin ini dia perlu menjalani pemeriksaan sekali lagi.

''Hanya empat pemain dari Perak dan Terengganu dikecualikan melapor diri. Mereka hanya dikehendaki hadir selepas tamat perlawanan akhir,'' kata Rahman ketika ditemui di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

''Hari ini (semalam) pertama kali saya memulakan tugas dan tumpuan saya adalah untuk mengenal pasti berapa pemain yang benar-benar menunjukkan minat untuk mewakili negara.

''Ini menjadi matlamat utama saya... iaitu mendapatkan pemain yang betul-betul mahu menyumbang tenaga untuk negara. Saya juga mahu tahu latar belakang mereka.

''Buat masa ini latihan untuk taktikal mahupun teknikal tidak penting,'' jelas Rahman.

Pelatih akan mula mengikuti agenda yang diatur Isnin ini dengan latihan akan diadakan di Stadium Nasional, Bukit Jalil sehingga berakhir 18 Disember.

Aspirasi baru yang mahu dilakukan tidak langsung berkaitan dengan disiplin mahupun kawalan ketat seperti lazim yang diadakan kepada pemain kebangsaan.

''Itu tidak lagi perlu hanya saya perlukan pemain yang benar mempunyai kesungguhan mewakili negara, soal disiplin di sini tidak timbul.

Tiga tugas utama yang dipikul oleh Rahman tahun depan ialah menyertai Kejohanan Piala Dunhill di Vietnam, Sukan SEA di Brunei dan pusingan kelayakan Piala Asia.
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1206&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4PboMjGyg © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan