Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
KIM SWEE (kiri) memeriksa suhu
air untuk menyejukkan badan selepas sesi latihan pemain skuad negara di Wisma
FAM, Kelana Jaya semalam.
JURULATIH Harimau Malaysia,
Datuk Ong Kim Swee menyifatkan beliau tidak perlu ‘pening kepala’ untuk
membariskan penyerangnya dalam merangka jentera serangan lebih ampuh menjelang
pertemuan pemanas badan dengan Papua New Guinea di Stadium Shah Alam, Isnin
depan.
Selepas memanggil 26 pelatih,
Kim Swee memiliki empat penyerang iaitu Safee Sali, Norshahrul Idlan Talaha,
Ahmad Hazwan Bakri dan Darren Lok sebagai pilihan untuk aksi terakhir persiapan
skuad negara sebelum berlepas ke Myanmar bagi mengharungi kempen Piala AFF
Suzuki 2016.
Gandingan Safee dan Norshahrul
yang mesra disapa ‘Mat Yo’ pernah menggegarkan bola sepak negara pada edisi
Piala AFF Suzuki 2010 tetapi pengendali kelahiran Melaka itu dilihat masih mahu
mencari kombinasi terbaik untuk membentuk jentera serangan terkuat Harimau
Malaysia ketika menentang Papua New Guinea.
Berdasarkan taktikal
dipraktikkan Kim Swee dalam beberapa perlawanan sebelum ini, bekas jurulatih
Harimau Muda itu menggunakan formasi 4-2-3-1 dengan menurunkan penyerang
tunggal.
Bagaimanapun, Kim Swee percaya
kehadiran keempat-empat penyerang itu termasuk penyerang berbisa Selangor,
Hazwan dan bintang muda Johor Darul Takzim II, Darren masing-masing memiliki
perbezaan dan keunikan tersendiri dari sudut keupayaan.
Selain itu, Kim Swee yakin ia
mampu memberikan kelainan kepada skuad kebangsaan ketika mengasak kubu lawan
selain mencari ramuan terbaik untuk membentuk kombinasi baharu jentera serangan
negara.
“Dia (Darren) telah membuat
yang terbaik pada sesi latihan tetapi saya harus memantau perkembangannya
terutama pertemuan menentang Papua New Guinea untuk melihat prestasinya. Selain
Darren, Mat Yo dan Safee berupaya mempamerkan prestasi positif.
“Saya ada empat penyerang yang
memiliki perbezaan keupayaan dan jika diletakkan dengan kombinasi betul, saya
percaya kami mampu melakukan banyak perkara terutama untuk ‘masuk’ dalam
benteng pasukan lawan nanti,” katanya ketika ditemui pemberita pada sesi
latihan Harimau Malaysia di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.
Dalam perkembangan sama, Kim
Swee juga sedar kualiti bertahan harus diperbaiki meskipun sebahagian besar
peminat-peminat mahu menyaksikan pasukan negara mempamerkan corak agresif
menyerang ketika menentang Papua New Guinea.
Katanya, beliau mengharapkan
pemain-pemainnya kekal berdisiplin ketika bertahan selain mengakui skuad
Harimau Malaysia tidak memiliki masalah untuk menyerang.
“Bukan sahaja untuk corak
menyerang tetapi pada masa sama kita perlu mempunyai disiplin ketika bertahan
dan serangan. Jadi, tiada masalah untuk kita melakukan latihan-latihan serangan
yang mana semua pemain suka lakukan serangan.
“Bukan sahaja corak menyerang
tetapi ketika bertahan kita harus berdisiplin. Saya tidak nampak masalah untuk
kita menyerang,” ujarnya.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=1110&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4PalhBWbK
Hakcipta terpelihara
Tiada ulasan:
Catat Ulasan