Jumaat, 11 November 2016

Pasukan negara masih pinjang

ARKIB : 13/01/1999
TIADA pertukaran besar-besaran akan dilakukan jurulatih negara, Abdul Rahman Ibrahim, apabila skuad kebangsaan membuat penampilan kedua bertemu kelab terbaik Dubai, Al-Ahli di UAE (Amiriah Arab Bersatu), malam ini.

Kekalahan 2-0 kepada kelab Latvia, FC Ventspils, malam kelmarin cukup mendedahkan kelemahan pasukan negara yang tampil buat kali pertama di peringkat antarabangsa.

Pada perlawanan itu, Abdul Rahman mencuba beberapa kombinasi dengan melakukan lapan pertukaran di babak kedua, yang menyaksikan dua gol ditembusi dalam lima minit terakhir.

''Saya beri peluang kepada semua pemain membuktikan keupayaan, tetapi saya tidak mungkin mengulanginya esok (hari ini),'' katanya ketika dihubungi di UAE, semalam.

S. Saravanan dibawa masuk menggantikan Khairul Anuar Baharom, Anuar Jusoh diganti oleh Mohamad Noor Derus dan Ahmad Shahrul Azhar menggantikan Ahmad Shahrudin.

Ketua pasukan, Zami Mohamad Noor pula dikeluarkan untuk memberi laluan kepada Yusri Che Lah, manakala pemain muda Selangor, Shamsul Amri menggantikan Moey Kok Hong.

Menurut Abdul Rahman, sekali pun jika terpaksa membuat pertukaran pada perlawanan malam ini, empat pemain adalah jumlah maksimum.

Katanya, pertukaran terlalu kerap akan menyukarkan usaha memupuk persefahaman, yang dikenal pasti sebagai kelemahan utama pasukan negara.

''Tempoh dua minggu jelas belum cukup membentuk skuad yang betul-betul bersedia. Tetapi, pemain kita berjaya memberi tentangan baik kepada Ventspils.

''Keseluruhannya saya berpuas hati dengan permainan mereka dan dapat membayangkan pemain yang akan menyarung kesebelahan utama,'' katanya.

Pada perlawanan malam kelmarin, Malaysia berjaya bertahan pada 45 minit separuh masa pertama, sebelum membenarkan Ventspils menyumbat dua gol pada minit ke-86 dan ke-89.

Zami dan N. Shanmugam diletak sebagai gandingan utama jentera serangan, manakala lima pemain membarisi bahagian tengah diketuai B. Rajnikhand, Faizal Zainal, Ahmad Shahrudin Rosdi, Kok Hong dan A. Ganeson.

Anuar berjaya mendapat sokongan baik Faizal Zainal di benteng pertahanan, sebelum Mohamad Noor gagal untuk meneruskan aksi cemerlang selepas mengambil alih tugas pada babak kedua.

Sementara itu, Azmin Azram Abdul Aziz hampir pasti menyarung jersi utama penjaga gol kebangsaan, selepas mendapat pujian jurulatih menerusi aksi cemerlang.

''Azmin bermain baik, dia berjaya menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya. Tetapi, masih terlalu awal untuk menilai pemain yang lain,'' katanya.

Ujian terakhir pasukan negara pada lawatan lapan hari di UAE adalah menentang kelab dari Rusia pada Jumaat ini.

Oleh: NORZIE MOHD. KHASB

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0113&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4PiB9lSeE © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan