Jumaat, 11 November 2016

Pemain kian matang

ARKIB : 17/01/1999 
ABDUL RAHMAN.

SKUAD bola sepak negara semakin menampakkan kematangan biarpun baru dibentuk tidak sampai sebulan apabila meraih kemenangan kedua pada perlawanan persahabatan ketiga di Amiriah Arab Bersatu (UAE), semalam.

Kemenangan 1-0 ke atas Al Shabab, antara kelab tergagah di UAE, bagaikan lanjutan kepada kesinambungan kecemerlangan mereka selepas menang mengejut 4-3 ke atas Al Ahli pada ujian kedua sebelum itu.


Jelas taktik jurulatih kebangsaan, Abdul Rahman Ibrahim yang gemar memadatkan bahagian tengah dengan lima pemain dan dua penggempur di barisan depan dalam ketiga-tiga perlawanan persahabatan itu, mampu membuahkan hasil.

Kejayaan itu memberikan mesej jelas bahawa Malaysia sudah bersedia untuk memberikan tentangan sengit apabila menggalas tugas pertama, Piala Dunhill di Vietnam, hujung bulan ini.

Begitupun, Abdul Rahman seperti biasa enggan berbangga atas kejayaan anak buahnya tetapi hanya berpuas hati dengan persembahan yang kian meningkat.

''Kemenangan ini adalah satu lagi suntikan semangat kepada semua pemain supaya mereka terus bekerja keras meningkatkan maruah bola sepak negara.

''Biarpun ini hanya perlawanan persahabatan, ia adalah pengalaman berharga bagi pemain dan saya pasti mereka berada pada tahap terbaik untuk pertandingan sebenar,'' kata Abdul Rahman ketika dihubungi di Dubai, semalam.

Al Shabab yang dibarisi tiga pemain kebangsaan UAE dan seorang pemain import dari Brazil terpaksa akur dengan kesungguhan Malaysia walaupun gol yang dibolosi hadir tiga minit sebelum tamat perlawanan.

Penyerang Pulau Pinang, G. Shanmugam menyumbat gol kemenangan pasukan negara selepas masuk menggantikan Yusri Che Lah pada minit ke-77.

''Saya rasa taktik menggunakan lima pemain di bahagian tengah lebih produktif jika berhasrat mengasak dan memburu jaringan.

''Walaupun gol hanya diperoleh lewat permainan, taktik itu nampak berhasil. Saya puas hati dengan persembahan mereka,'' katanya yang menggunakan formasi 3-5-2 pada tiga perlawanan itu.

Malaysia memberi tentangan sengit sebelum tewas 2-0 pada perlawanan ujian pertama kepada kelab dari Latvia, Ventspils FC sebelum menang ke atas Al Ahli.

Abdul Rahman semalam menurunkan barisan yang dianggap kesebelasan utama negara. Azmin Azram Abdul Aziz diberi kepercayaan menjaga gawang dibantu Khairul Anuar Baharom, A. Ganeson dan Moey Kok Hong di benteng pertahanan.

Anuar Jusoh, K. Sanbagamaran, B. Rajinikandh, Ahmad Shahruddin Rosdi dan Faizal Zainal mengemudi jentera tengah manakala Zami Mohd. Nor dan Yusri di barisan depan sebelum Shanmugam dibawa masuk.

Begitupun Abdul Rahman berkata, beliau setakat ini hanya mengenal pasti empat pemain yang mampu menjadi tonggak utama pasukan negara.

Sementara itu di Kuantan, Pahang, SALEHUDIN MAT RASAD melaporkan, skuad bola sepak kebangsaan perlu mengekalkan semangat berpasukan jika mahu memulihkan kembali imej sukan itu.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata, kemenangan ke atas Al Ahli dan Al Shabab boleh dianggap permulaan baik bagi membentuk pasukan negara yang mantap.

Katanya, walaupun hanya beberapa minggu dibentuk, namun ternyata telah menampakkan keserasian di kalangan mereka.

''Mereka diharap tidak alpa dengan kejayaan ini sebaliknya terus mengekalkan kecemerlangan kerana ia merupakan ujian awal ke arah membentuk sebuah pasukan yang digeruni lawan,'' katanya.
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0117&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4PiL6SFlN

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan