Sabtu, 12 November 2016

‘Siapa gandingan saya bukan isu’

FADHILUL IZMEL ISHAK  |  13 November 2016 12:17 AM
Mohd. SAFEE SALI (kanan) dan  Norshahrul Idlan Talaha pernah membentuk
MOHD. SAFEE SALI (kanan) dan Norshahrul Idlan Talaha pernah membentuk gandingan yang digeruni pasukan lawan ketika Piala AFF edisi 2010 yang menyaksikan Malaysia muncul juara untuk kali pertama.
KUALA LUMPUR 12 Nov. - Penjaring terbanyak Piala AFF 2010 Mohd. Safee Sali tidak akan merungut sekali pun jika dia digandingkan dengan penyerang muda yang masih mentah dari segi pengalaman berbanding dengan dirinya apabila Harimau Malaysia memulakan kempen Piala AFF edisi 2016.
Enam tahun lalu pemain berusia 32 tahun itu bergan­dingan dengan Norshahrul Idlan Talaha untuk menerajui barisan hadapan skuad negara merobek pertahanan lawan sehingga berjaya membantu Malaysia menjulang trofi kejohanan itu untuk kali pertama sementara Safee dinobatkan sebagai penjaring terbanyak setelah meledak lima gol.
Untuk persiapan menghadapi Piala AFF 2016, yang akan bermula 19 November ini, Kim Swee turut menyenaraikan Darren Lok dan Ahmad Hazwan Bakri di bahagian serangan selain Safee dan Norshahrul yang lebih dikenali dengan panggilan Mat Yo tetapi siapa yang akan berada dalam kesebelasan utama dan bergandingan dengan siapa masih belum dapat dipastikan.
“Dalam fasa latihan terakhir kali ini saya lihat semua pemain bersungguh-sungguh untuk merebut tempat dan saya fikir itu satu tanda positif untuk pasukan apabila semua pemain komited dalam latihan.
“Memang ada muka baharu dan saya lihat ada peningkatan yang mana saya dapat mengenali mereka dengan lebih rapat, jadi saya fikir tiada masalah untuk mendapatkan keserasian.
“Saya sudah biasa digandingkan bersama Mat Yo dan apabila kami bergandingan macam-macam perkara boleh berlaku. Jika saya diberi peluang untuk bermain dengan pemain baharu pun saya fikir tiada masalah sebab kami mempunyai banyak masa untuk mengenali corak permainan antara satu sama lain,” katanya.
Siapa yang akan bermain di barisan serangan dan bergandingan dengan siapa apabila Malaysia memulakan kempen Piala AFF pada 20 November ini menentang Kemboja mungkin dapat ditelah apabila Harimau Malaysia diuji oleh Papua New Guinea (PNG) dalam perlawanan persahabatan di Shah Alam Isnin ini.
Sementara itu, pemain tengah Johor Darul Ta’zim II (JDT II), Mohd. Irfan Fazail menyifatkan pertemuan menentang Papua New Guinea mampu memberikan suntikan semangat kepada pasukan sebelum mereka ke Yangon, Myanmar jika Harimau Malaysia mencapai keputusan positif.
“Ini ujian untuk semua pemain (menentang Papua New Guinea) dan jika diberi peluang untuk diturunkan saya mahu membuktikan sesuatu kepada pasukan. Sudah pasti ingin mendapat kemenangan kerana mampu menaikkan lagi moral pemain sebelum ke Myanmar,” katanya.
Malaysia diletakkan dalam Kumpulan B dalam Piala AFF 2016 dengan dua lagi pasukan iaitu tuan rumah Myanmar akan menentang Vietnam pada 19 November.
Pasukan dalam Kumpulan A pula terdiri daripada Thailand, Indonesia, Singapura dan Filipina yang menjadi tuan rumah bersama untuk peringkat awal.

-sumber See more at: https://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/8216-siapa-gandingan-saya-bukan-isu-8217-1.406698#sthash.RCDmlyr5.dpuf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan