Oleh AHMAD FAZLI MOHD YADI
PERLAWANAN persahabatan Harimau
Malaysia bertemu Papua New Guinea di Stadium Shah Alam pertengahan bulan ini
dijangka berlangsung pada pukul 3 petang.
JURULATIH Harimau Malaysia,
Datuk Ong Kim Swee berkata, skuad kendaliannya bakal menjalani sesi latihan
pada pukul 3 petang sebagai usaha menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca panas
yang akan diharungi dalam kempen Piala AFF Suzuki 2016 Myanmar bulan ini.
Demi memastikan persiapan skuad
negara tidak terjejas dan berjalan lancar, Kim Swee turut mengesahkan bahawa
perlawanan persahabatan bertemu Papua New Guinea di Stadium Shah Alam pada 14
November ini akan berlangsung pada waktu sama seperti rutin sesi latihan mereka
yang bakal bermula minggu depan.
“Saya tidak menolak kemungkinan
bahawa kami akan mengadakan sesi latihan seawal pukul 3 petang. Ini kerana
kami mahu menyesuaikan diri dengan faktor cuaca di sana dan saya berpendapat
pertemuan dengan Papua New Guinea juga berlangsung pada waktu yang sama nanti.
“Saya juga fikir persiapan ini
sangat penting kerana saya tahu pemain-pemain kita akan berdepan cuaca yang
agak panas ketika beraksi di Yangon (Myanmar) nanti.
“Jadi, hanya aksi terakhir
(Kumpulan B) Piala AFF 2016 bertemu pasukan tuan rumah (Myanmar) sahaja akan
berlangsung lewat iaitu kira-kira pukul 6 petang,” katanya ketika ditemui
pemberita di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.
Dalam perkembangan lain, Kim
Swee turut memuji persembahan cemerlang pemain Kedah, Mohd. Rizal Mohd. Ghazali
serta penyerang Selangor, Ahmad Hazwan Bakri dalam aksi final Piala Malaysia di
Stadium Shah Alam, Ahad lalu.
Secara tidak langsung,
pengendali kelahiran Melaka itu menyifatkan persembahan positif daripada
kedua-dua pemain terbabit akan memberikan satu suntikan motivasi kepada skuad
negara bermula bertemu Papua New Guinea sebelum berlepas ke Yangon pada 16 November
ini.
“Bagi saya, persembahan baik
mereka adalah suatu petanda yang cukup baik. Hazwan telah menjaringkan gol
dalam dua edisi final (Piala Malaysia) dan pasti ia bukan satu tugas yang
mudah.
“Begitu juga dengan Rizal yang
telah menunjukkan keyakinan tinggi dan ia sudah pasti petanda positif kepada
pasukan negara,” katanya.
Sebagai rekod, Rizal bersama
tiga pemain Kedah iaitu Baddrol Bakhtiar, Syazwan Zainon dan Khairul Helmi
Johari akan melaporkan diri bersama skuad kebangsaan setelah selesai menyertai
majlis sambutan kemenangan Piala Malaysia bersama Helang Merah di Alor Setar
petang semalam.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=1102&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4OpmIs8Uv
Hakcipta terpelihara
Tiada ulasan:
Catat Ulasan