Oleh Mohamad Zulfaizan Mansor zulfaizan@bh.com.my
JURULATIH Datuk Ong Kim Swee. -
Foto Osman Adnan KELANA JAYA:
Skuad kebangsaan akan menjalani
latihan pada jam 3 petang bermula minggu depan bagi menyesuaikan diri dengan
keadaan cuaca selepas dua perlawanan peringkat kumpulan Piala AFF Suzuki di
Yangon, Myanmar akan berlangsung waktu petang. Perkara itu disahkan jurulatih
Datuk Ong Kim Swee yang turut menjelaskan perlawanan persahabatan dengan Papua
New Guinea di Stadium Shah Alam pada 14 November ini juga berlangsung jam 3
petang.
"Kemungkinan minggu depan kita akan
buat latihan bermula jam 3 petang bagi menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca
dan perlawanan dengan Papua New Guinea juga dijangka akan berlangsung jam 3
petang. "Ia sangat penting yang mana kita tahu pemain akan berdepan cuaca
yang agak panas. Malah, bukan saja dari segi cuaca tetapi juga untuk persiapan
pada hari perlawanan (di Yangon) yang mana kita akan berdepan perkara sama.
"Hanya perlawanan terakhir berdepan
tuan rumah Myanmar saja akan berlangsung lebih lewat kira-kira jam 6
petang," katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Wisma Persatuan Bola
Sepak Malaysia (FAM), hari ini. Malaysia diletakkan dalam Kumpulan B saingan
Piala AFF Suzuki bersama tuan rumah Myanmar, Vietnam dan Kemboja. Anak didik
Kim Swee akan memulakan saingan berdepan Kemboja pada 20 November.
Selain itu, Kim Swee yakin aksi cemerlang
yang dipamerkan Ahmad Hazwan Bakri dari Selangor dan Mohd Rizal Ghazali (Kedah)
pada final Piala Malaysia kelmarin bakal menambah kekuatan kepada Harimau
Malaysia. "Satu petanda yang cukup baik, Hazwan menjaringkan gol dalam dua
final yang mana ia sudah pasti bukan satu tugas mudah. Rizal juga menunjukkan
keyakinan tinggi dan ia positif untuk pasukan kebangsaan," katanya.
Rizal bersama tiga lagi pemain Kedah
termasuk Baddrol Bakhtiar, Syazwan Zainon dan Khairul Helmi Johari akan
melaporkan diri bersama skuad kebangsaan malam ini selepas dibenarkan untuk
menyertai majlis sambutan kemenangan Piala Malaysia bersama Helang Merah di
Alor Setar, hari ini. Sementara itu empat tonggak Selangor termasuk Ahmad
Hazwan, Shahrom Abdul Kalam, Khairul Azhan Khalid dan S Veenod sudah melaporkan
diri bersama Harimau Malaysia, hari ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan