Khamis, 3 November 2016

Rizal kecewa

 
(DARI kiri) Khairul, Syazwan, Baddrol dan Rizal kini bersama Harimau Malaysia.
Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Wira Piala Malaysia skuad Kedah, Rizal Ghazali terkilan kerana tidak dapat bersama rakan sepasukan meraikan kejayaan bersama penyokong di Alor Setar kelmarin namun dia mengakui tugasan bersama skuad Harimau Malaysia lebih penting.

Pemain pertahanan berusia 24 tahun itu bersama tiga lagi pemain Baddrol Bakhtiar, Khairul Helmi Johari dan Syazwan Zainon terlepas detik bermakna sambutan besar-besaran oleh puluhan ribu penyokong atas kejayaan skuad Helang Merah menjuarai Piala Malaysia buat kali pertama selepas lapan tahun.

Empat tonggak Kedah itu diarahkan untuk melaporkan diri bersama skuad kebangsaan kendalian Datuk Ong Kim Swee malam kelmarin apabila diberi rehat dua hari selepas membantu Kedah mengalahkan Selangor menerusi sepakan penalti 6-5 pada final Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, Ahad lalu.

Rizal dinobat pemain terbaik perlawanan akhir susulan aksi cemerlang meledak gol bagi kedudukan 1-1 dalam aksi 120 permainan sebelum menyempurnakan sepakan penalti terakhir untuk Kedah membalas dendam kekalahan tahun lalu.

“Kalau boleh nak rai juga, tapi ada kerja di sini, kami fokus yang penting dulu. Harapan saya bersama Harimau Malaysia memang besar. Kami ada sasaran yang ditetapkan jurulatih, memang kalau boleh kami nak menang,” katanya semalam.

Rizal sudah diuji Kim Swee ketika Harimau Malaysia seri 0-0 dengan Singapura dalam aksi persahabatan antarabangsa Oktober lalu dan selepas aksi cemerlangnya di pentas final tempoh hari sudah pasti penyokong mengharapkan sesuatu yang lebih daripadanya.

“Saya tak ada tekanan dan saya tak mahu fikir semua itu. Saya akan buat seperti biasa saja,” jelasnya.

Sementara itu, bagi Khairul Helmi yang turut terlepas sambutan kejuaraan Piala Malaysia kelmarin berkata, beliau gembira rakyat Kedah dapat melihat trofi lebih dekat biarpun mereka tidak bersama.

“Kami cuma tengok sambutan itu menerusi ‘live Facebook’ Kedah FA, memang rasa kecewa sikit sebab tak dapat sama-sama raikan piala itu, bukan mudah nak bawa balik piala itu. Yang penting semua rakyat Kedah gembira dapat tengok piala dengan lebih dekat. Harap KFA (Persatuan Bolasepak Kedah) dapat buat satu lagi majlis untuk empat pemain ini turut serta.

“Sebagai pemain profesional, kami kena korban masa dengan keluarga, ia bukan masalah besar, kami pemain Kedah fokus dengan skuad kebangsaan,” katanya yang bersama pasukan kebangsaan ke Port Dickson bagi kem motivasi selama tiga hari.

Dengan kehadiran empat pemain Kedah itu, Kim Swee kini mempunyai 26 pemain lengkap bagi latihan pusat menghadapi Piala AFF di Yangon, Myanmar bermula 20 November ini.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 November 2016 @ 11:33 AM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan