Sabtu, 12 November 2016

‘Saya masih belum puas hati

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
ZAQUAN (kiri) optimis mampu menjadi sebahagian senjata Harimau Malaysia sekiranya diberi peluang beraksi menentang PNG pada perlawanan persahabatan di Shah Alam esok.

MOHAMAD Zaquan Adha Abd. Radzak menegaskan, dia masih berupaya untuk mempamerkan persembahan lebih positif bersama skuad Harimau Malaysia jika diturunkan menentang Papua New Guinea (PNG) dalam aksi pemanas badan terakhir pasukan kebangsaan di Stadium Shah Alam petang esok.

Zaquan berkata demikian selepas meledak satu gol ketika menewaskan skuad bawah 22 tahun (B-22) 4-3 kerana pemain sayap Johor Darul Takzim II itu percaya, dia masih di bawah prestasi sebenar.

Bekas pemain Negeri Sembilan itu juga optimis bahawa dia mampu menjadi sebahagian senjata buat pasukan kebangsaan, selain mengakui masih perlu bekerja keras untuk me­ningkatkan tahap staminanya.

Sebagai rekod, Zaquan menjaringkan gol kemena­ngan selepas jaringan Amri Yahyah, Shahrom Kalam dan Syazwan Zainon ketika menentang pasukan bimbingan Frank Bernhardt di padang latih­an Wisma FAM, Kelana Jaya kelmarin.

Menurutnya, secara peribadi, dia masih lagi belum berpuas hati dengan prestasi ketika perlawan­an menentang skuad Projek Sukan SEA 2017 kerana boleh melakukan yang lebih baik daripada itu.

Jelasnya lagi, momentum, stamina dan keyakinannya berada dalam keadaan baik dan telah bersedia memberi yang terbaik sekiranya diturunkan oleh jurulatih dalam aksi tersebut (menentang PNG).

“Saya perlu tingkatkan lagi tahap kecergasan kerana seperti mana semua tahu, seorang pemain sayap memerlukan stamina yang tinggi untuk naik melancarkan serangan dan turun membantu pertahanan.

“Perlawanan menentang PNG pastinya mempunyai tekanan tinggi kerana peminat mahu melihat macam mana keupayaan kita sebelum memulakan kempen Piala AFF Suzuki.

“Kita perlukan pengalaman dan harus membantu antara satu sama lain serta bermain sebagai satu pasukan,” katanya kepada pemberita selepas tamat aksi menentang skuad B-22 kelmarin.

Tambah Zaquan, dia mengakui, padang basah dilihat mengganggu corak permainannya, selain mendedahkan barisan pemain Harimau Malaysia beraksi dengan lebih ‘selamat’ bagi mengelak daripada ditimpa kecederaan sebelum berlepas ke Yangon pada 16 November ini.

“Kita pun sudah hampir dengan kejohanan Piala AFF Suzuki. Jadi, masing-masing pasti tidak mahu cedera pada saat-saat akhir.

“Persefahaman dengan rakan-rakan pasukan amat baik kerana saya pernah bermain dengan Safee (Sali) di bahagian serangan dengan Irfan (Fazail) di bahagian tengah jadi tiada masalah. Cuma momentum perlawanan persahabatan dengan aksi sebenar adalah berbeza,” katanya

Sumber-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=1113&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4PqHdpKRH Hakcipta terpelihara

Tiada ulasan:

Catat Ulasan