Sabtu, 12 November 2016

TMJ tak minat kerusi FAM

Oleh WAN NUR ZURAIHAH WAN ALI
 
“Saya tidak berminat untuk menjadi Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).”

Demikian titah Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berhubung teka-teki sama ada baginda akan mengisi kerusi panas badan induk bola sepak negara atau tidak.

Melalui satu kenyataan yang dimuat naik laman Facebook Johor Southern Tigers lewat malam kelmarin, Tunku Ismail turut bertitah, baginda juga tidak berminat untuk menjadi penaung FAM kerana menta­liti mereka yang terlibat dalam sukan ber­kenaan termasuk para penyokong.

“Saya tidak berminat untuk menjadi Presiden FAM dan saya juga tidak berminat untuk menjadi penaung FAM.

“Mentaliti orang-orang bola sepak dan penyokong di Malaysia serta pilihan mereka untuk kekal menafikan kenyataan adalah sebab kenapa saya tidak mahu berada dalam bulatan kegagalan ini,” titah ba­ginda.

Menurut kenyataan itu lagi, berbeza de­ngan pasukan Johor Darul Takzim (Johor DT) yang menetapkan liga dan pertandi­ngan antarabangsa sebagai penanda aras, pasukan domestik lain hanyalah menyasarkan untuk merebut Piala Malaysia.

“Dalam aspek kewangan, anda akan mempunyai lebih ramai penaja yang berlumba-lumba ingin menaja kerana syarikat-syarikat serta penaja mahu nama mereka diiktiraf di peringkat global, sekali gus akan mengukuhkan kelab anda daripada segi kewangan dan seterusnya kemapanan.

“Malangnya di sini, mentaliti rakyat Malaysia adalah berjuang untuk merebut Piala Malaysia,” titah baginda.

Menurut Tunku Ismail, sewaktu baginda ditanya sama ada dirinya akan berjuang untuk Piala Malaysia pada tahun depan, jawapan yang diberi adalah bagaimanakah Piala Malaysia akan membantu dirinya di peringkat global serta sejauh manakah ia mampu membawanya.

“Masalah dengan negara ini adalah orang-orang kita mendengar dan membaca apa yang dikatakan dalam sebuah laman bola sepak tempatan tetapi tidak menyedari bahawa laman tersebut diken­dalikan oleh orang yang tiada kena me­ngena dan tidak berkelayakan dalam sukan bola sepak.

“Tidak hairanlah tidak ada kemajuan dalam bola sepak kita. Ini kerana orang lebih berminat untuk melayan tong yang kosong. Kejahilan adalah kunci kepada kegagalan dan itulah apa yang benar-benar berlaku,” tegas baginda.

Tambah Tunku Ismail, kita perlu me­nerima kelemahan diri untuk diperbaiki dan bola sepak perlulah dijalankan seperti sebuah perniagaan.

Sumber-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=1113&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4PqOGoY29 Hakcipta terpelihara

Tiada ulasan:

Catat Ulasan