Isnin, 7 November 2016

Olimpik 2000 ada peningkatan

ARKIB : 12/11/1998
HATEM Souissi tetap lantang melonjakkan egonya dalam mempertahankan wibawa diri sebagai jurulatih dan kemampuan skuad bimbingannya, Olimpik 2000 sekalipun menjadi belasahan Thailand pada siri perlawanan persahabatan bola sepak, baru-baru ini.

Bagi Hatem, beliau sudah mencuba semaksimum mungkin sebagai pembimbing Olimpik 2000 sambil mendakwa terdapat ciri peningkatan di kalangan anak buahnya sepanjang perlawanan di Bangkok itu.

''Tiada siapa yang gembira dengan kekalahan 0-9 ini. Tetapi pihak yang berkenaan tidak patut mengeluarkan kenyataan bahawa mereka tidak dapat menerima keputusan yang dikatakan buruk itu.

''Jangan cepat buat kesimpulan dengan menilai keputusan perlawanan ini. Perlu diingat kita bukan bermain dalam pertandingan tetapi lebih cenderung untuk pembangunan,'' tegas Hatem pada persidangan berita di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya, semalam.

Khidmat Hatem sebagai jurulatih seperti telur di hujung tanduk kini apabila kepercayaan FAM terhadapnya kian terhakis selepas persembahan merosot Olimpik 2000 di Bangkok dan Piala Tiger di Vietnam, Ogos lalu.

FAM pada mesyuarat majlis, minggu lalu menetapkan Kejohanan Piala Kemerdekaan Bristol di Sri Lanka, Ahad ini sebagai peluang terakhir Hatem membuktikan sesuatu jika mahu terus membimbing skuad belia negara ini ke Sukan Olimpik Sydney 2000.

''Lawan yang ditentang di Bangkok merupakan barisan terbaik Thailand. Tentulah tiada yang mudah apabila menentang skuad kebangsaan ini.

''Kita menghadapi masalah kesuntukan masa menjelang perlawanan pertama di sana. Namun pemain Olimpik kita sebenarnya tidak cepat mengalah begitu sahaja.

''Saya melihat perlawanan ini dari sudut positif dan saya yakin dalam diri pemain sudah terbina perwatakan yang meyakinkan bahawa mereka tidak akan mudah gentar apabila bersaing di peringkat kelayakan Olimpik nanti,'' sambungnya lagi.

Jurulatih dari Tunisia itu merujuk kepada kesudahan pada dua perlawanan berikutnya yang menyaksikan Olimpik 2000 mampu mengurangkan kadar bolosan gol biarpun tetap tewas.
SUMBER-  Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1112&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4PF861HsF

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan