Isnin, 7 November 2016

Misi besar Harimau Malaysia

Oleh MUHD. ARDIE PUTRA SUHAIMI
 
KIM SWEE (dua dari kiri) mempunyai masa yang agak terhad untuk membentuk skuad mantap bagi mengharungi kempen Piala AFF Suzuki pada hujung bulan ini.

SKUAD Harimau Malaysia perlu menggandakan usaha dalam misi membawa pulang trofi Piala AFF Suzuki tahun ini selepas kali terakhir melakukannya pada edisi 2010 ketika di bawah kendalian Datuk K. Rajagopal.

Ketua jurulatih, Datuk Ong Kim Swee kini sedang bekerja ke arah itu bagi merealisasikan hajat untuk bergelar juara.

Setakat ini, barisan pemain skuad negara telah menunjukkan kesungguhan serta sikap yang sangat positif sepanjang seminggu menjalani sesi latihan pusat khususnya ketika mengharungi kem bina semangat di Port Dickson, Negeri Sembilan baru-baru ini.

“Selepas seminggu bersama para pemain, saya sudah dapat melihat kegigihan mereka dalam sesi latihan terutama pada kem bina semangat yang dianjurkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selama tiga hari baru-baru ini. Susulan itu, kami mula melakukan proses pemulihan pada sesi latihan hari ini (semalam).

“Namun, corak latihan akan berubah pada minggu ini kerana kita hanya mempunyai dua minggu sahaja lagi sebelum perlawanan pertama Piala AFF Suzuki menentang Kemboja nanti. Mereka akan mengharungi enam sesi latihan iaitu pagi dan petang selama tiga hari berturut-turut.

“Saya akui jadual kami agak padat pada minggu ini kerana mahu memastikan para pemain cergas sepenuhnya. Bagaimanapun, latihan mungkin akan dikurangkan untuk sesi sebelah petang sahaja pada minggu terakhir sebelum kita terbang ke Yangon, Myanmar nanti,” kata Kim Swee ketika ditemui di Hotel Hilton, Petaling Jaya semalam.

Sebagai rekod, pasukan negara yang menduduki ranking ke-164 dunia dijadualkan berentap dengan Kemboja pada aksi pembuka tirai kejohanan bola sepak terbesar Asia Tenggara itu pada 20 November nanti.

Sebelum berlepas ke Myanmar, skuad negara akan mengharungi satu perlawanan antarabangsa Kelas A menentang Papua New Guinea di Stadium Shah Alam pada 14 November ini.

Dalam perkembangan sama, Kim Swee mengakui gembira dengan prestasi yang ditunjukkan oleh dua pemain pertahanan kiri Harimau Malaysia, Nazirul Naim Che Hashim dan Khuzaimi Piee kerana menganggap persaingan antara mereka sebagai petanda positif buat kem negara.

“Saya akui Nazirul (Naim) memiliki lebih pengalaman berbanding Khuzaimi (Piee) yang belum didedahkan atau beraksi di peringkat antarabangsa.

Pada saya ini adalah masalah yang baik kerana kedua-dua pemain berusaha keras cuma mereka perlu lebih konsisten untuk mengukuhkan slot di bahagian pertahanan kiri,” jelasnya lagi.

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=1107&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4PJwyA2y9 Hakcipta terpelihara

Tiada ulasan:

Catat Ulasan